2 orang diselamatkan dari perairan dekat Pedra Branca

 

DUA orang yang memakai jaket keselamatan telah diselamatkan dari perairan pulau Pedra Branca, dalam operasi mencari dan menyelamat melibatkan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia.

Mereka kini sedang menerima rawatan di Batam.

Mereka diselamatkan kapal persisir Indonesia, dengan pihak berkuasa negara itu memberitahu pihak berkuasa di sini sekitar 1 petang pada Sabtu (31 Ogos), kata Penguasa Kelautan dan Pelabuhan (MPA) Singapura, dalam kenyataannya.

Operasi mencari dan menyelamat, yang dikendalikan Singapura, dimulakan sejurus selepas MPA menerima laporan tentang dua orang itu sekitar 8.40 pagi pada 30 Ogos.

Mereka dilaporkan dilihat di kawasan sekitar lapan kilometer dari Rumah Api Horsburgh di pulau kecil Pedra Branca, yang juga dikenali sebagai Pulau Batu Putih. 

Pasukan Polis Pantai Singapura dan Angkatan Tentera Laut Singapura menghantar kakitangan dan kapal bagi operasi itu.

Angkatan Tentera Udara Singapura juga menghantar helikopter Super Puma untuk membantu.

Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Indonesia (BASARNAS) juga menghantar kapal dan kakitangan untuk membantu misi itu.

Galeri Foto