Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

2 produk bebola ikan yang dilarang Muis tidak lagi dijual di pasar raya

Setempat
27
0

DAKWAAN PRODUK BEBOLA IKAN PUNYAI DNA BABI

2 produk bebola ikan yang dilarang Muis tidak lagi dijual di pasar raya

Jan 31, 2021 | 05:30 AM

DUA produk makanan laut Li Chuan telah dikeluarkan daripada rak-rak di pasar raya, menurut syarikat itu dan pemeriksaan Berita Minggu (BM) semalam ke beberapa pasar raya di sini.

Ini berikutan arahan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) kelmarin supaya dua produk itu - Li Chuan Fish Ball dan Li Chuan Cuttlefish Ball - dikeluarkan dari pasaran setelah Kementerian Ehwal Keagamaan Brunei mendapati produk tersebut mengandungi DNA babi.

Produk yang terjejas ialah Li Chuan Fish Ball (beku dan sejuk) dengan tarikh luput 9 Jun 2022 dan 7 Oktober 2022; serta Li Chuan Cuttlefish Ball (beku dan sejuk) dengan tarikh luput 9 Jun 2022.

Ia dihasilkan oleh Li Chuan Food Products Pte Ltd, pemegang sijil halal Muis.

Dihubungi semalam, jurucakap syarikat tersebut berkata dua produk itu tidak lagi diedarkan dalam pasaran.

"Sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk memberi jaminan kepada masyarakat Muslim, kami telah memutuskan untuk menarik balik dan menghentikan pengedaran dua produk ini sehingga siasatan selesai," kata jurucakap itu.

Beliau menambah syarikatnya itu mengeksport produk mereka ke Brunei tetapi produk tersebut dibungkus semula oleh sebuah syarikat tempatan di sana yang bukan di bawah naungan syarikat tersebut.

Dalam pada itu, pemeriksaan wartawan ke dua pasar raya di sini semalam mendapati bahawa dua produk berkenaan tidak lagi dijual.

Di pasar raya Sheng Siong yang terletak di Jurong West Avenue 5, produk-produk Li Chuan lain seperti Li Chuan Mushroom Ball, Li Chuan Flavoured Crab Ball, Li Chuan Fish Dumpling dan Li Chuan Fish Tofu, dilihat masih dijual.

Namun, dua produk Li Chuan yang terjejas tidak dijumpai di rak-rak pasar raya itu.

Sementara itu, di pasar raya NTUC FairPrice di Vivocity, tiada jenama produk Li Chuan yang dilihat dijual di rak-raknya.

Kelmarin, dalam surat yang dihantar kepada pemegang sijil halal dan dilihat BM, Muis juga mengarahkan semua pemegang sijil halalnya yang telah membeli produk-produk berkenaan "berhenti menggunakannya dengan serta-merta".

Muis dan Agensi Makanan Singapura (SFA) telah menjalankan siasatan mengenai isu tersebut dan sedang menunggu hasil laporan ujian produk yang terjejas.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, Muis berkata ia mula menyiasat sebaik sahaja diberitahu mengenai perkara itu oleh pihak berkuasa di Brunei pada Isnin lalu.

Pegawainya telah melakukan pemeriksaan di loji penghasilan syarikat tersebut pada Rabu lalu, dan mengambil contoh produk yang terjejas untuk diuji di makmal yang diiktiraf, kata Muis.

Menurut jurucakap syarikat Li Chuan, hasil laporan siasatan itu dijangka diperolehi minggu hadapan.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3