Seorang lelaki berusia 86 tahun yang belum melengkapkan vaksinasinya dan seorang wanita 95 tahun yang tidak divaksin meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) malam Rabu (25 Ogos).
Lelaki itu, yang meninggal dunia pada Selasa (24 Ogos), disahkan positif Covid-19 pada 28 Julai.
Beliau dimasukkan ke hospital Tan Tock Seng bagi masalah kesihatan yang tidak mempunyai kaitan dengan Covid-19 pada 1 Julai namun disahkan negatif virus itu beberapa kali.
Menurut MOH, beliau mempunyai beberapa masalah kesihatan termasuk barah, tekanan darah tinggi, penyakit buah pinggang kronik, sakit jantung, dan tahap kolesterol tinggi.
Wanita itu, yang meninggal dunia pada Rabu, telah mengalami gejala pada 5 Ogos dan disahkan positif virus tersebut pada 9 Ogos selepas dimasukkan ke Pusat Penyakit Berjangkit Nasional. Beliau mengalami penyakit Alzheimer.
Dua kematian ini menjadikan jumlah pesakit Covid-19 yang meninggal di Singapura dalam bulan Ogos sebanyak 15 orang.
Secara keseluruhan, sebanyak 52 orang telah meninggal dunia di sini akibat Covid-19.
Sebanyak 118 kes jangkitan masyarakat dilaporkan pada Rabu, dengan 29 daripadanya tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kes.
Baki 89 kes mempunyai kaitan dengan kes lain, menurut MOH.
Daripada jumlah itu, sebanyak 26 kes mempunyai kaitan dengan kelompok dormitori North Coast Lodge, dengan sebanyak 25 kes telah dikenakan perintah kuarantin sebelum itu, kata MOH.
Kelompok tersebut kini mempunyai 112 jangkitan.
Sementara itu, 19 daripada kes yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan kes sebelumnya dan telah pun dikenakan perintah kuarantin, sedang 44 kes berkait yang lain dikesan melalui pemantauan.
Antara kes-kes itu termasuk dua warga emas berusia 70 tahun ke atas yang belum divaksin atau hanya menerima satu dos. Mereka menghadapi risiko jatuh sakit teruk, kata MOH.
Buat masa ini sebanyak 350 kes masih dirawat di hospital, 19 daripada mereka memerlukan bantuan oksigen. Tujuh pesakit kini dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).
Antara mereka yang sakit teruk, 21 terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas. 17 daripada mereka belum menerima vaksin penuh atau tidak divaksin.
Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat jatuh kepada 316 kes pada minggu lalu berbanding 335 kes pada minggu sebelumnya.
Jumlah kes yang tidak mempunyai kaitan pula meningkat kepada 131 kes minggu lalu berbanding 81 kes pada minggu sebelumnya.
Sebanyak 78 peratus warga Singapura sudah melengkapkan vaksin Covid-19 hingga Isnin (23 Ogos), sementara 82 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.