LEBIH ramai jemaah akan berpeluang melakukan solat Jumaat bermula Jumaat ini apabila kira-kira 20 masjid akan mula menampung 100 jemaah dalam satu zon.
Langkah itu dapat dilakukan ekoran berkurangnya kadar pertumbuhan jangkitan mingguan semasa Fasa Penstabilan sekarang, menurut kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) semalam.
Sebelum ini, masjid menampung sehingga 50 jemaah bagi setiap zon.
Pada masa yang sama, Muis menegaskan bahawa solat harian dan berjemaah akan terus dijalankan dengan amalan jarak selamat, tempoh yang dipendekkan, prosedur pembersihan yang dipertingkat, tempat masuk dan keluar berasingan, serta aplikasi Trace Together bagi penjejakan kontak.
Muis menambah, sejak setahun lalu, terdapat banyak penyesuaian kepada kehidupan beragama Muslim Singapura ekoran berlakunya Covid-19.
Penyesuaian itu dibimbing oleh nasihat agama daripada Jawatankuasa Fatwa dan Pejabat Mufti, dan Muslim Singapura telah dapat menyesuaikan diri dengan baik di atas perubahan yang diperlukan semasa pandemik ini.
"Dengan penurunan berterusan dalam kadar pertumbuhan jangkitan mingguan semasa Fasa Penstabilan sekarang, Muis kini bekerjasama dengan masjid-masjid untuk secara berterusan meningkatkan saiz jemaah kepada sehingga 100 jemaah setiap zon.
"Sebilangan masjid telah mula menempatkan lebih 50 jemaah bagi solat harian, dan 20 masjid akan menawarkan sehingga 100 jemaah setiap zon pada Jumaat ini," umum Muis.
Mengulas langkah terbaru itu, Timbalan Mufti, Dr Mohammad Hannan Hassan, meminta Muslim setempat supaya meneruskan tanggungjawab sosial bagi menjaga keselamatan masyarakat.
"Masyarakat kita telah berdiri teguh dan bersatu dalam menghadapi pandemik ini, yang mana kita bersyukur.
"Sebagai tanda kesyukuran kita, adalah penting buat kita terus memelihara daruriyyat, perkara-perkara asas agama (Syariah) kita, dan memelihara pendekatan berhati-hati sedang lebih banyak kegiatan keagamaan disambung semula.
"Jarak selamat antara saf masih diperlukan, dan rukhsah (keringanan) buat solat Jumaat bagi mereka yang tidak dapat menempah slot solat Jumaat masih terpakai.
"Kita bersyukur kerana terdapat kemajuan dalam cara kita menjalankan kewajipan agama di masjid," ujarnya.
Dr Mohammad Hannan menambah, kerjasama jemaah dalam menyesuaikan diri pada banyak perubahan dan langkah pengurusan selamat (SMM) di masjid setempat adalah luar biasa, dan amat dihargai.
Muis menyatakan pihaknya dan masjid akan terus memantau keadaan dan membuat penyesuaian lanjut mengikut keadaan yang mengizinkan.
"Kami memohon sokongan dan pemahaman masyarakat Islam untuk menjaga kesihatan awam semasa kita melaksanakan kewajipan agama kita di masjid kita," ujar Muis lagi.
Antara beberapa masjid yang menyediakan ruang 100 jemaah bagi setiap zon termasuk Masjid Al-Istighfar dan Masjid Al-Ansar di Kelompok Timur; Masjid Al-Muttaqin dan Masjid Assyafaah di Kelompok Utara; Masjid
Mujahidin dan Masjid Sultan di Kelompok Selatan; serta Masjid Assyakirin dan Masjid Darussalam di Kelompok Barat.
Laporan lanjut: