SINGAPURA boleh berasa yakin bahawa ia mampu menangani apa jua cabaran mendatang meskipun sedang ia mempersiapkan diri untuk menghadapi kesan varian Covid-19 Omicron, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.
Tahun 2022 juga merupakan tempoh peralihan bagi Singapura dengan ekonomi yang pulih dan berkembang seiringan dengan ekonomi sejagat, tambah Encik Lee dalam Amanat Tahun Barunya.
Kedudukan Singapura kini lebih kukuh dalam usaha memerangi Covid-19 berbanding dua tahun lalu, namun selain menangani kesan virus tersebut Singapura juga perlu bertindak untuk menjana pertumbuhan, pekerjaan baru dan kemakmuran dalam ekonomi pascapandemik, ujar Encik Lee.
Dengan ekonomi yang semakin pulih, Encik Lee berkata langkah bantuan kecemasan sedia ada bagi tujuan membantu perniagaan bangkit semula akan dihentikan secara bertahap, meskipun beberapa sektor akan meng ambil masa lebih lama berbanding yang lain. Ini sementara perjalanan rentas sempadan diperluas dan pekerja asing kembali ke Singapura secara bertahap.
Pada masa yang sama, Encik Lee juga menekankan bahawa Singapura perlu merancang mencapai matlamat jangka panjangnya termasuk melaksanakan usaha transformasi industri untuk mempertingkat kekuatan sedia ada dan membantu pekerja meningkatkan kemahiran mereka.
“Pandemik ini menunjukkan kepada kita betapa pentingnya untuk kita berdiri teguh sebagai satu rakyat.
“Krisis yang melanda kita ini bukanlah yang terakhir; kita akan mengalami lebih banyak ujian dan dugaan dalam perjalanan pembangunan negara kita.
“Kita mesti bersungguh sungguh melawan tarikan arus luaran yang kuat yang boleh meluaskan jurang perselisihan dalam masyarakat kita dan kita harus menghalang nya daripada memecahbelahkan kita,” katanya.
Untuk melakukan demikian, warga Singa pura juga perlu meneruskan usaha mengukuh kan kesepakatan sosial dan identiti bersama.
“Kita mesti terus menjalin kepercayaan dan sikap saling memahami – baik antara pemerintah dengan rakyat, mahupun dalam kalangan rakyat Singapura daripada apa jua latar belakang.
“Walaupun di tengah tengah pandemik ini, kita tidak mengabaikan tugas penting ini,” katanya.
Encik Lee menambah usaha perlu terus dijalankan untuk mengukuhkan kontrak sosial dengan merapatkan jurang perselisihan yang semakin luas akibat pandemik ini. Ini termasuk membantu mereka yang ketinggalan, meningkatkan jaringan keselamatan bagi mereka yang memerlukan, menjaga kesihatan mental rakyat, dan memenuhi ke perluan masyarakat yang semakin menua.
Warga Singapura telah menyokong keputusan sukar serta membuat banyak pengorbanan bagi mengharungi cabaran pandemik, dan ini membuktikan bahawa ia mampu berdiri teguh sebagai “satu rakyat”.
Katanya: “Berdepan dengan cabaran jangka panjang pada masa hadapan, kita mesti mengekalkan tahap perpaduan yang sama demi mencapai matlamat bersama, kecekalan semangat, dan kesanggupan untuk menerima langkah langkah yang sukar demi mengatasi cabaran-cabaran tersebut dengan tegas dan terus mencapai kemajuan bersama.
“Inilah caranya kita akan membina Singapura di mana setiap orang mempunyai peranan masing masing dan tidak ada seorang pun yang akan ketinggalan.”