LEBIH daripada 20 pelajar di sebuah kolej penginapan di Universiti Nasional Singapura (NUS) telah jatuh sakit selepas makan sajian yang disediakan di dewan makan penginapan tersebut.
Sumber-sumber memberitahu memberitahu akhbar The Straits Times(ST) semalam bahawa para pelajar terbabit telah makan di Kolej Penginapan Ridge View pada Selasa dan Rabu.
Kebanyakan mereka makan di kaunter makanan Melayu, kata sumber tersebut.
Terdapat juga pilihan makanan barat dan Asia yang disajikan di dewan makan itu, yang diuruskan syarikat Chartwells.
Para pelajar dilaporkan mengalami cirit-birit dan terpaksa mendapatkan rawatan perubatan.
Satu kenyataan bersama oleh Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) kepada Berita Harian mengesahkan bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat insiden gastroentiritis dalam kalangan penghuni Kolej Penginapan Ridge View NUS, yang ditubuhkan pada April 2014.
Sebanyak 22 kes dilaporkan sehingga 4.30 petang semalam.