PROGRAM Sains Perubahan Iklim Marin (MCCS) berjumlah $25 juta akan dibangunkan untuk memajukan sains utama dalam perubahan iklim marin, selain mencapai huraian bagi membantu menangani cabaran yang dihadapi sekitaran pantai dan marin ekoran perubahan iklim.
Diketuai oleh Lembaga Taman Negara (NParks), program itu akan melibatkan rakan kongsi utama merentasi agensi pemerintah, institut penyelidikan dan rakan kongsi industri.
Ini merupakan antara inisiatif baru yang diumumkan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee di Simposium dalam talian, Penyelidikan dan Pembangunan Kemampanan Bandar, semalam.
Bertemakan "Bangkit Lebih Kukuh: Bandar Inovatif Hari Esok," simposium dalam talian itu akan melibatkan siri webinar sepanjang setahun yang merangkumi tema penyelidikan serta topik berkaitan inovasi dan keusahawanan sejajar dengan pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2025 (RIE2025).
Berucap dalam simposium itu, Encik Lee berkata suntikan tersebut akan menyokong pertumbuhan dan transformasi sektor Sekitaran Binaan dan mewujudkan pekerjaan menarik bagi rakyat Singapura.
"Dengan erti kata lain, jika dilakukan dengan baik, usaha R&D (Penyelidikan dan Pembangunan) kita bukan sahaja akan menjadikan bandar kita lebih berdaya tahan malah membantu memperkukuh ekonomi kita," kata Encik Lee.
Dalam ucapannya juga, Encik Lee berkata program MCCS akan merangkumi pelbagai bidang penyelidikan.
Ia akan berusaha untuk lebih memahami kesan perubahan iklim kepada spesis marin, habitat, ekosistem dan kesambungan selain menggunakan huraian yang memanfaatkan alam dan kejuruteraan ekologi bagi mempelajari bagaimana cara terbaik melindungi pantai Singapura daripada paras air laut yang semakin tinggi.
Ia juga akan meninjau karbon biru, iaitu karbon yang disimpan oleh ekosistem pantai dan marin untuk membantu Singapura terus mengurangkan jejak karbon.
"Justeru kita mencapai dua matlamat pada masa yang sama, mengurangkan pengeluaran karbon dan memelihara alam semula jadi," katanya.
Selain itu, di bawah pendanaan RIE2020, agensi air negara PUB telah menganugerahkan hampir $11 juta kepada enam projek, untuk mengkaji teknologi baru bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan jejak sisa penyahmasinan.
Ini termasuk teknologi untuk memperbaiki kedua-dua proses rawatan pra dan pos penyahmasinan air laut bagi meraih kemampanan air.
Dalam pada itu, sebagai sebahagian daripada usaha pemerintah untuk mengalihkan sektor sekitaran membina daripada terlalu mengharapkan pekerja, Lembaga Perumahan dan Pembangunan dan Institut bagi Penyelidikan Infokom A*Star akan membangunkan konsep "Bijak Binaan 5G".
Ia akan meninjau bagaimana menerapkan teknologi 5G dalam dron, robot dan kecerdasan buatan untuk memantau tapak binaan.
"Kejayaan teknologi daripada merata dunia boleh membantu kita membina dengan lebih cepat, selamat dan lebih berkesan, misalnya menerusi lebih banyak penggunaan robotik, automasi dan pendigitalan," kata Encik Lee sambil menambah bahawa rekaan yang memanfaatkan robot boleh diselitkan dalam pembinaan.
Selain itu, satu lagi tumpuan bagi pemerintah ialah untuk memperkukuh sains sosial bandar Singapura.
Encik Lee turut menambah HDB dan A*Star akan menandatangani Memorandum Persefahaman yang bertujuan menggunakan dapatan penyelidikan daripada agensi Kementerian Pembangunan Negara dan menjadikannya aplikasi komersial sebelum terus dibangunkan.