WARGA Singapura yang layak, yang telah mendaftar bagi skim Baucar GST Pemerintah, akan menerima bayaran tambahan hingga $200 seorang sebelum 5 Nov, kata Kementerian Kewangan (MOF) pada Selasa (1 Nov).
Sebanyak $280 juta akan dibayar bagi bayaran wang tunai khas ini.
Pembayaran sekali sahaja ini adalah di samping Baucar GST biasa yang diberi pada Ogos, yang menyaksikan kira-kira 1.3 juta warga Singapura menerima wang tunai hingga $300 seorang.
Ia diumum dalam Belanjawan 2016 dan bertujuan menyokong keluarga di tengah-tengah keadaan ekonomi semasa.
Tiada tindakan diperlukan daripada penerima layak dan kriterianya sama dengan Baucar GST biasa.
Sementara itu, MOF juga telah mengeluarkan peringatan bagi warga Singapura yang layak mendapat GST Baucer Tunai/Medisave tetapi belum mendaftar supaya berbuat demikian sebelum 31 Dis
Mereka seharusnya telah menerima surat pada Jun lalu yang memaklumkan mengenai faedah yang mereka boleh dapat.
MOF akan menghantar surat peringatan kedua pada awal November.
Maklumat lanjut mengenai Baucar GST boleh didapati di laman web Baucar GST. Orang ramai juga boleh menghubungi 1800-2222-888 untuk maklumat mengenai Baucar GST - Tunai/Medisave, Tokok Medisave 5 Tahun dan Pakej Generasi Perintis, atau 6671-7117 bagi maklumat mengenai Baucar GST - U-Save.