Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

3 anak kini kongsi hari lahir pada Tahun Baru

Jan 02, 2022 | 05:30 AM



PADA hari Tahun Baru semalam, Encik Muhammad Hafiz Mohamed Johari dan Cik Anisah Zainol bukan sahaja menyambut hari ulang tahun dua anak mereka malah turut menimang cahaya mata mereka yang keempat.



Pasangan itu kini mempunyai tiga anak yang lahir pada hari tahun baru - Qurratu Ain Al-Adawiyah pada 2015, Abu Hurairah pada 2018 dan Aqil Al-Harith pada 2022.



Aqil dilahirkan sekitar 6.45 pagi semalam dengan berat 2.95 kilogram.



Seorang lagi anak pasangan itu, Adam Hariz, dilahirkan pada 12 Disember 2015.



Menurut Encik Muhammad Hafiz, 34 tahun, keempat-empat anak mereka dilahirkan secara normal dan disambut pakar perbidanan dan sakit puan, Dr Jazlan Joosoph, di Hospital Raffles.



Tambahnya, beliau dan isteri, kedua-duanya penjawat awam, sebenarnya menjangkakan bayi mereka akan lahir pada 12 Januari.



Namun, ketibaan lebih awal daripada yang dijangkakan itu membuat ibu bapanya teruja.



"Dengan tiga anak saya sekarang mempunyai tarikh lahir yang sama, senang juga untuk saya ingat tarikh lahir mereka.



"Ini satu bonus yang manis," ujar Encik Muhammad Hafiz, berseloroh.



Dengan ketidakpastian akibat pandemik Covid-19 sepanjang sekitar dua tahun lalu, beliau juga menganggap ketibaan Aqil sebagai sinar harapan buat keluarganya.



Meskipun dalam keadaan yang mencabar sekarang, Cik Anisah, 42 tahun, bersyukur akan rahmat ini dan ia lebih istimewa sempena Tahun Baru.



"Saya harap dengan bertambahnya anggota keluarga kami, tahun ini akan menjadi lebih meriah," ujarnya.



Menyentuh tentang tanggungjawab tambahan memandangkan beliau kini bapa empat anak, Encik Muhammad Hafiz berkata:



"Saya bertekad ingin menjalankan amanah dan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin."



Beliau juga rasa senang dengan pelbagai bantuan dan sokongan yang ditawarkan buat ibu bapa muda seperti dirinya.



Ini termasuk Geran Bantuan Bayi (BSG) sebanyak $3,000 bagi bayi yang lahir dari 1 Oktober 2020 hingga 30 September 2022, yang bertujuan membantu pasangan membiayai kos membesarkan anak semasa tempoh luar biasa ini akibat pandemik Covid-19.



BSG, yang disediakan pemerintah sebagai tambahan kepada Hadiah Wang Tunai Bonus Bayi (BBCG), juga bertujuan memberi sokongan tambahan kepada ibu bapa yang merancang menimang lebih ramai cahaya mata, supaya mereka tidak menangguhkan rancangan itu di tengah-tengah keadaan ekonomi sekarang.



Bagi Encik Muhammad Hafiz, bantuan itu amat berguna dan tentu sekali dapat membantu beliau dan isteri.



Tambahnya, beliau juga merancang menghabiskan cuti paterniti selama dua minggu untuk membantu menguruskan bayinya dan meluangkan masa dengan tiga anaknya yang lain sementara isterinya berehat.



Bantuan dalam bentuk BSG itu turut disambut baik pasangan ibu bapa, Encik Muhammad Asyraf Arshad dan Cik Nur Jannah Zainal, yang menyambut zuriat pertama mereka, yang juga bayi Tahun Baru pertama yang dilahirkan di Hospital Universiti Nasional (NUH) semalam.



Menurut Encik Muhammad Asyraf, keluarganya amat ghairah dan gembira kerana bayinya itu juga cucu pertama dalam keluarganya.



"Keluarga dan teman kami semua memberi banyak sokongan dan mereka faham tentang dasar pelawat ke hospital sekarang," ujarnya.



Satu lagi pasangan yang menyambut bayi Tahun Baru semalam ialah Encik Syahir Mohd Reduan, 29 tahun dan Cik Dinah Norfatinah Djanamar, 26 tahun.



Anak sulung pasangan yang berkahwin Februari lalu itu, Daniya Iman, dilahirkan di Hospital Parkway East dengan berat 3.225 kilogram tepat 12 tengah malam.



"Kami rasa syukur, gembira dan bangga dan ini tidak mungkin dapat berlaku tanpa bantuan (doktor kami).



"Kami percayakannya sepenuhnya untuk menyambut bayi kami dengan selamat, tidak kira bila tarikh lahirnya," ujar pasangan itu sambil menambah, bayi mereka sepatutnya dijangka dilahirkan pada 27 Disember lalu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >