Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

3 dari setiap 10 pesakit diabetes Melayu tidak sedar hidap kencing manis

Perangkaan lebih rendah dalam kalangan pesakit Cina dan India
Nov 20, 2021 | 05:30 AM



SEBANYAK 33.3 peratus pesakit kencing manis Melayu sebelum ini tidak didiagnos dan tidak mengetahui mereka menghidapi kencing manis.



Ini disebabkan mereka tidak menjalani pemeriksaan, menurut laporan Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) yang dikeluarkan kelmarin.



Perangkaan itu adalah 22 peratus bagi orang Cina dan 13.4 peratus bagi orang India.



Tinjauan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) itu dijalankan antara Julai 2019 dengan Mac tahun lalu.



Sebagai sebahagian tinjauan itu, peserta diundang menjalani ujian darah dan kemudian didapati menghadapi kencing manis sedangkan sebelum ini mereka tidak didiagnos.



Tinjauan itu juga mendapati kadar lebih tinggi lelaki menghidap kencing manis (10.6 peratus) berbanding wanita (8.4 peratus).



Dalam kalangan mereka yang menghidap kencing manis, tinjauan itu mendapati 23.2 peratus belum didiagnos dengan penyakit tersebut secara keseluruhan.



Kadar itu serupa dengan 22.7 peratus pada 2017, tetapi lebih rendah daripada 36 peratus pada 2010.



Sekitar 24.5 peratus pesakit lelaki dan 21.4 peratus pesakit wanita didapati tidak sedar tentang status kencing manis mereka.



Kadar pesakit yang tidak didiagnos didapati paling tinggi dalam kalangan orang muda berusia antara 30 dengan 39 tahun pada 56.7 peratus.



Sementara itu, lebih satu dalam setiap lima warga emas berusia antara 60 dengan 74 tahun juga didapati menghidap kencing manis.



Laporan itu juga mendapati lebih ramai orang Melayu menghidap penyakit kencing manis berbanding orang India dan Cina.



Tinjauan itu mendapati satu dalam 10, atau 9.5 peratus, penduduk Singapura berusia antara 18 dengan 74 tahun menghidap kencing manis dalam tempoh itu, naik daripada 8.8 peratus pada 2017.



Trend menurun dilihat selepas pelarasan umur dibuat, menunjukkan peningkatan di atas sebahagiannya disebabkan penduduk semakin tua.



Orang Melayu (14.4 peratus) dan orang India (14.2 peratus) didapati lebih banyak menghidap kencing manis berbanding orang Cina (8.2 peratus).



Kadar kencing manis paling tinggi dicatat dalam kalangan lelaki India dan wanita Melayu, iaitu sekitar 15 peratus.



MOH dalam laporan itu berkata kencing manis boleh menyebabkan kematian dan kecacatan menerusi komplikasi jangka panjang, termasuk hilang daya penglihatan, kegagalan ginjal, penyakit jantung dan angin ahmar.



Diabetes Jenis 2 adalah bentuk kencing manis yang paling kerap berlaku, dan sering dikesan dalam kalangan orang lebih tua.



Ia juga dikaitkan dengan masalah kegemukan.



Penyakit kronik lain yang dikaitkan dengan kegemukan ialah tekanan darah tinggi dan kadar kolesterol tinggi.



Tinjauan itu mendapati 35.5 peratus penduduk yang ditinjau menghidap tekanan darah tinggi dalam tempoh 2019 hingga 2020.



Ini bertambah sebanyak 50 peratus daripada 24.2 peratus pada 2017.



Orang Melayu paling ramai menghidap penyakit itu (37.5 peratus), diikuti orang Cina (36.1 peratus) dan orang India (29.5 peratus).



Perkadaran tekanan darah tinggi paling tinggi dalam kalangan lelaki Cina (42.4 peratus) dan wanita Melayu (35.3 peratus).



Bagi kadar kolesterol tinggi, tinjauan itu mendapati sekitar empat dalam 10 (39.1 peratus) penduduk menghidap penyakit itu dalam tempoh 2019 hingga 2020.



Perkadaran berdasarkan kaum serupa dengan 39.6 peratus orang Cina, 39.2 peratus orang Melayu dan 37.5 peratus orang India menghidap penyakit tersebut.



Lebih ramai orang Melayu (60.2 peratus) dan orang India (59.7 peratus) didapati tidak sedar bahawa mereka mempunyai kadar kolesterol tinggi, berbanding orang Cina (52.5 peratus).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >