Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

3 perkara perlu terus diperkuat Melayu/Islam

Maliki: kepimpinan agama, bantu golongan mudah terjejas mempertingkat, dan semangat bantu diri
Sep 04, 2020 | 05:30 AM



USAHA membina masyarakat adil dan saksama menghendaki semua pihak, termasuk pemerintah dan masyarakat, memainkan peranan, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Dr Mohamad Maliki Osman, dalam ucapannya di Parlimen semalam.



Bagi memperkukuh teras masyarakat Melayu/Islam, beliau berkata tiga perkara perlu terus diperkuat, iaitu kepimpinan agama, membantu golongan mudah terjejas mempertingkat, dan semangat bantu diri.



Dalam ucapan dalam bahasa Melayu itu, Dr Maliki berkata masyarakat Melayu/Islam memerlukan teras kepimpinan agama kukuh yang boleh membantu masyarakat mengharungi isu-isu sensitif seperti yang dihadapi semasa pandemik Covid-19.



"Yang penting ialah kepimpinan - iaitu keupayaan untuk mempertimbangkan dan membuat keputusan yang terbaik, walaupun tidak popular dan mungkin sukar diterima oleh beberapa segmen masyarakat, tetapi harus dilakukan demi kemaslahatan masyarakat yang lebih luas dan negara," kata Dr Maliki.



Beliau menambah bahawa pandemik Covid-19 telah menimbulkan cabaran yang tidak pernah wujud sebelum ini, dan ini bermakna asatizah masa depan akan berdepan dengan dilema serta cabaran yang tidak wujud sebelum ini.



"Mereka perlu bersedia meningkatkan ilmu dalam bidang-bidang baru serta menggunakan kaedah segar dalam memberikan kepimpinan dan bimbingan kepada anggota masyarakat dalam dunia yang pesat berubah dan tidak menentu," katanya.



Menyentuh tentang usaha membantu golongan mudah terjejas mengejar aspirasi kejayaan, Dr Maliki berkata masih terdapat keluarga Melayu/Islam yang dibebani pelbagai cabaran sosial yang memberi kesan negatif kepada pertumbuhan dan potensi anak-anak mereka.



Bagi anak-anak daripada keluarga sedemikian, Dr Maliki berkata sokongan akan diperkukuh melalui program Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga (UPLIFT), yang antara lain mendekati anak-anak yang menunjukkan tanda awal bermasalah seperti tidak datang ke sekolah secara tetap.



"Kami faham cabaran keluarga-keluarga ini. Ramai menghadapi cabaran sosial. Mereka bertungkus lumus berusaha untuk memenuhi keperluan asas mereka. Seringkali, mereka tidak berupaya memikirkan isu jangka panjang, seperti pendidikan, meningkatkan kemahiran dan perancangan kewangan.



"Tetapi, jika kita bersatu sebagai sebuah masyarakat, kita dapat bantu meringankan tekanan-tekanan ini untuk warga semasyarakat dan senegara kita; memberi kestabilan kepada mereka dan bekerjasama untuk melakarkan masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak mereka," kata Dr Maliki.



Menurutnya, satu lagi aspek yang perlu diperkuatkan ialah semangat bantu diri, dengan institusi kukuh seperti M Kuasa Tiga (M³), merangkumi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Mendaki dan Mesra, dan badan Melayu/Islam lain yang berkhidmat untuk masyarakat, terutama dalam membantu mempertingkat keluarga rentan.



Antara lain, masyarakat akan disokong dalam membina keluarga kukuh, serta mendapat peluang meningkatkan daya kerja.



Dr Maliki berkata pandemik Covid-19 menunjukkan kekuatan masyarakat Melayu/Islam membantu diri sendiri, seperti yang dilihat apabila masyarakat segera menggembleng tenaga bagi menggerakkan sumber untuk membantu satu sama lain.



"Kita berkembang dengan lebih teguh lagi sebagai sebuah Masyarakat Gemilang - yang menyesuaikan diri dan bersatu padu dalam menghadapi apa jua cabaran, di samping menyumbang kepada kebaikan bersama Singapura.



"Inilah impak dan kesesuaian prinsip bantu diri masyarakat kita - mencari huraian kepada masalah dan cabaran sesama kita dalam masa yang sama menyumbang kepada pembangunan negara.



"Usaha-usaha ini menonjolkan semangat gerakan Singapura Bersama, di mana rakyat Singapura bekerjasama dengan Pemerintah untuk memiliki, membentuk dan bertindak demi masa depan kita bersama," kata Dr Maliki.




"Kami faham cabaran keluarga-keluarga ini. Ramai menghadapi cabaran sosial. Mereka bertungkus lumus berusaha untuk memenuhi keperluan asas mereka. Seringkali, mereka tidak berupaya memikirkan isu jangka panjang, seperti pendidikan, meningkatkan kemahiran dan perancangan kewangan. Tetapi, jika kita bersatu sebagai sebuah masyarakat, kita dapat bantu meringankan tekanan-tekanan ini untuk warga semasyarakat dan senegara kita; memberi kestabilan kepada mereka dan bekerjasama untuk melakarkan masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak mereka."
- Dr Mohamad Maliki Osman, Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >