Tiga orang terperangkap dalam sebuah kereta selepas dahan besar sebatang pokok jatuh menghempapnya di Geylang Lorong 17 pada petang Sabtu (27 Jan).
Menurut akhbar The Straits Times, kereta Hyundai Elantra itu sedang menuju ke arah Sims Avenue sekitar 6 petang apabila dahan pokok itu menghempap bumbungnya.
Pemandu, seorang jurutera berusia 62 tahun yang ingin dikenali sebagai Encik Li, memberitahu akhbar Shin Min Daily News pada Ahad bahawa beliau sedang menghantar pulang kawannya, 50-an tahun, dan anak perempuannya, 29 tahun, apabila kejadian itu berlaku.
"Tidak ada masa untuk saya bertindak. Saya sedang memandu apabila tiba-tiba mendengar bunyi kuat dan dahan besar itu jatuh menghempap kereta saya," katanya.
Ia menyebabkan bumbung keretanya kemek, kata Encik Li.
Kaca depan dan belakang keretanya juga hancur menyebabkan pecahan kaca bertabur di kerusi kereta, katanya.
ST difahamkan tiada orang cedera.
Encik Li berkata mereka bertiga terperangkap di dalam kereta sekitar 10 minit kerana semua pintu tersekat.
Bimbang kenderaan itu mungkin terbakar, mereka berjaya keluar menerusi tingkap tempat duduk pemandu, katanya.
Enam orang yang berlalu di situ tampil membantu mereka.
Encik Li berkata: "Kami hanya kira-kira lima minit dari destinasi kami, apabila ini menimpa. Nasib baik kami selamat. Saya baru beli kereta ini dua tahun lalu dan teruk sekiranya saya tidak boleh buat tuntutan insurans atas kerosakan yang berlaku. "