SERAMAI 302 individu - 210 lelaki dan 92 wanita, antara usia 15 dengan 77 tahun kini sedang membantu siasatan polis kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan sebagai si penipu mahupun keldai wang.
Dalam satu kenyataan polis pada Sabtu (17 Julai), pegawai Jabatan Ehwal Komersial dan tujuh Divisyen Polis Darat dikatakan mengendalikan operasi dua minggu antara 3 hingga 16 Julai 2021.
Individu yang disyaki dipercayai terlibat dalam lebih 800 kes penipuan yang dilaporkan terdiri daripada penipuan cinta Internet, e-dagang, pelaburan, pekerjaan, platform judi palsu dan pinjaman wang, di mana mangsa kehilangan lebih $8.2 juta.
Menurut kenyataan itu lagi, mereka yang disyaki ini sedang disiasat bagi kesalahan menipu, pelaburan wang haram atau menyediakan khidmat bayaran tanpa lesen.
Kesalahan menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan membawa pada penjara hingga 10 tahun dan denda. Kesalahan melabur wang haram di bawah Akta Rasuah, Mengedar Dadah dan Jenayah Serius Lain (Perampasan Faedah) pula membawa pada penjara bagi penggal tidak melebihi 10 tahun, denda tidak melebihi $500,000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, kesalahan menjalankan perniagaan dengan apa jua bentuk khidmat bayaran di Singapura tanpa lesen di bawah Seksyen 5, Akta Khidmat Bayaran 2019, membawa pada denda tidak melebihi $125,000, penjara bagi penggal tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pihak polis mengambil serius tindakan terhadap sesiapa yang terlibat dalam kes penipuan dengan si pelaku akan ditangani mengikut undang-undang.
Bagi mengelakkan daripada bersubahat dengan jenayah sebegini, orang ramai harus menolak permintaan orang lain bagi menggunakan akaun bank atau talian telefon anda kerana anda akan dipertanggungjawabkan jika perihal ini kemudian dikaitkan dengan jenayah.
Bagi keterangan lanjut berhubung dengan kes penipuan, orang awam boleh lungsuri laman beralamat www.scamalert.sg atau hubungi Talian Hotline Antipenipuan di 1800-722-6688.
Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang penipuan sebegini boleh hubungi talian Polis di 1800-255-0000 atau mengirim keterangan dalam talian di www.police.gov.sg/iwitness. Semua keterangan yang diberi akan dirahsiakan.