SEJAK Januari, sekurang-kurangnya 35 individu telah menjadi mangsa kepada penipuan berkaitan khidmat pelancongan luar negara dengan mangsa menanggung kerugian berjumlah sekurang-kurangnya $34,000.
Polis berkata semalam ia telah memerhatikan bahawa terdapat kenaikan jenis penipuan itu yang melibatkan pemohonan visa, kad ketibaan dan tempahan penerbangan yang dibuat menerusi laman ejen penerokaan palsu.
Mangsa didapati mengakses laman tersebut dengan andaian bahawa ia adalah laman rasmi dan kemudian mengisi butiran peribadi mereka serta butiran kad bank mereka untuk membuat bayaran.
Mereka kemudian menerima e-mel yang meminta bhtir lanjut untuk melengkapkan permohonan mereka.
Apabila permohonan dan pembelian mereka tidak diproses, mangsa membuat pemeriksaan dengan penguasa dan syarikat tertentu dan mendapat tahu mereka telah ditipu.
Polis berkata orang ramai harus membuat pemeriksaan menerusi Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Persatuan Nasional Ejen-ejen Pelancongan Singapura (Natas) untuk mengenal pasti jika sesuatu penyedia khidmat pelancongan itu adalah ejen yang sah.
Mereka juga dinasihatkan untuk membeli tiket penerbangan daripada penjual sah atau sumber diyakini.
Pelancong boleh merujuk kepada laman Kementerian Ehwal Luar (MFA) untuk mendapatkan maklumat tentang permohonan visa yang betul untuk ke luar negara.
Mereka juga boleh melayari laman Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk mendapatkan maklumat berkenaan keperluan kemasukan bagi warga Singapura.
Polis berkata, bayaran kredit dan debit palsu perlu dilaporkan kepada bank dan kad-kad tersebut harus dibatalkan dengan serta merta.
Ia menambah, jika seseorang mempunyai maklumat tentang jenayah sedemikian, mereka boleh menghubungi talian polis 1800-255-000.
Untuk menerima lebih maklumat tentang penipuan, orang umum boleh melungsuri laman Scam Alert atau menghubungi talian cegah penipuan, 1800-722-6688.