LEBIH 3,600 keluarga memerlukan telah menerima antara satu hingga tiga kilogram daging korban berdasarkan jumlah isi rumah masing-masing.
Pengagihan tersebut merupakan inisiatif Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS) membawa keceriaan kepada mereka yang kurang bernasib baik, yang juga penerima zakat, sempena Hari Raya Haji.
Selain beg berisi daging korban, setiap keluarga juga telah diberi satu paket kurma yang telah didermakan Kedutaan Arab Saudi di Singapura, menurut kenyataan Majlis Ugama Islam (Muis) semalam.
Inisiatif yang diberi nama 'Sharing the Gift of Kindness' yang bakal menutup tirainya Ahad ini.
Sepanjang tempoh 31 Julai hingga Ahad ini, JKMS dengan kerjasama pegawai pembangunan sosial dan masjid JKMS yang turut serta telah mengagihkan beg habuan tersebut dengan bantuan sukarelawan.
Antara masjid yang turut serta termasuk Masjid Al-Khair, Al-Iman, Al-Istiqamah, Hj Yusof, Assyakirin, Yusuf Ishak, Sallim Mattar, Al-Huda dan Darul Ghufran.
Selain penerima zakat, daging korban tersebut juga telah diagihkan kepada keluarga individu yang dipenjara dan juga pekerja migran di dormitori.
Sebanyak 2,500 kilogram daging korban, yang telah didermakan oleh anggota masyarakat, telah diperuntukkan untuk pekerja migran.
Sementara itu, seramai 2,000 pekerja migran di kilang yang sebahagiannya diubah menjadi dormitori (FCD) telah menerima lebih 400 kilogram daging korban hasil kerjasama JKMS, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan wakil pekerja migran.
RLAF juga berjaya mengumpulkan dana $3,000 dari penderma swasta untuk membeli bahan-bahan yang diperlukan supaya pekerja dapat menyediakan hidangan penuh Bangladeshi Pilau bagi pekerja lain.
Pengerusi JKMS 2021, Encik Mohd Rafi Eusope berkata:
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penderma, sukarelawan dan rakan kongsi korban yang telah membantu menjayakan korban tahun ini.
"Sokongan anggota masyarakat Melayu/Islam amat penting sedang kita berkongsi rezeki korban ini dengan semua segmen masyarakat yang layak menerimanya, langsung mencerminkan maksud korban sebenar."
Dalam usaha berasingan semasa tempoh hujung minggu Hari Kebangsaan lalu, sebanyak 2,100 paket makanan telah didermakan kepada pekerja migran.
Sebanyak 1,500 paket makanan disediakan menggunakan daging korban yang didermakan oleh anggota masyarakat oleh Masjid Al-Khair untuk diagihkan kepada pekerja di 12 dormitori.
Sementara itu, 600 paket disediakan oleh Masjid Assyafaah bagi pekerja di dormitori sektor utara.