M3@Woodlands

3K - Kewangan, Kesihatan dan Keluarga - dapat tumpuan M3@Woodlands

MASYARAKAT Melayu/Islam di kawasan GRC Sembawang boleh menjangkakan lebih banyak program membina keluarga kukuh, meningkatkan kecelikan kesihatan dan kebijaksanaan dalam kewangan, oleh M kuasa Tiga (M³) di Woodlands.

Sejak dibentuk pada Julai lalu, M³@Woodlands sudah mengelolakan program seperti KelasMatematika (KMM), kegiatan bijak belanja serta acara kesihatan seperti berjalan pantas dan masakan sihat.

Usaha ini akan dipergiatkan dengan penganjuran lebih banyak program yang memberi manfaat kepada penduduk pada bulan-bulan mendatang.

Ini termasuk program kesihatan dan ceramah undang-undang dengan kerjasama Masjid Assyafaah, kelab membaca, pameran kerjaya serta kegiatan jejak warisan agar penduduk lebih memahami budaya dan agama lain, kata Penasihat akar umbi yang juga Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin.

M³@Woodlands adalah bandar kelapan dilancarkan di bawah inisiatif M³ yang melibatkan kerjasama di antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki (Mendaki) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra).

Encik Amrin menjelaskan progam dilakarkan sejauh ini memberi tumpuan kepada tiga perkara iaitu 3K - kesediaan kewangan dan ekonomi; kesihatan serta kemaslahatan keluarga dan masyarakat.

"Bagi memahami keperluan masyarakat, sukarelawan M³@Woodlands akan terus bekerja rapat dengan sukarelawan akar umbi di samping MAEC GRC Sembawang bagi mendekati penduduk menerusi lawatan ke rumah dan acara kemasyarakatan.

"Kami juga akan bekerjasama dengan Mendaki and Muis bagi menganjurkan program untuk masyarakat Melayu/Islam dan terus memberi tumpuan kepada 3K itu," ujarnya.

Encik Amrin juga berharap dapat menarik lebih ramai anggota masyarakat Melayu/Islam, khususnya belia dan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) untuk menjadi sukarelawan.

"Dengan lebih ramai sukarelawan yang berbagai bakat, lebih banyak boleh dicapai.

"Dengan fokus kami terhadap 3K, saya berharap kami dapat menarik karyawan kesihatan dan pakar sumber manusia," harap beliau.

Mengenai apa yang boleh dijangkakan penduduk, Encik Amrin berkata dalam mempersiapkan penduduk dari sudut kewangan, ia merancang mewujudkan lebih banyak wadah pertingkatkan diri.

"Misalnya, kami akan anjurkan pameran kerjaya pada Oktober ini agar penduduk dapat peluang kerjaya baru, tingkatkan kemahiran dan konsultasi percuma untuk perbaiki resume mereka.

"Kami akan bekerjasama dengan Mendaki, Lembaga CPF dan Kementerian Kesihatan (MOH) bagi menganjurkan bengkel kesedaran dan celik kewangan," terangnya.

Satu bidang keprihatinannya ialah program kesihatan untuk semua lapisan penduduk.

Dalam hal ini, M³@Woodlands akan bekerja rapat dengan jabatan pediatrik di hospital setempat untuk menganjurkan ceramah bagi ibu bapa muda di samping kerjasama dengan Lembaga Pengalakan Kesihatan (HPB) dalam program kesihatan untuk dewasa bekerja dan warga emas, kata Encik Amrin.

Demi mengukuhkan hubungan keluarga dan masyarakat, satu inisiatif menarik yang dirancangkan ialah kelab membaca.

"Kami berharap dapat menggalak amalan membaca dan meningkatkan kemahiran membaca di kalangan anak-anak kecil," tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi M³@Woodlands, Dr Noorul Fatha As'art, berkata program sejauh ini bermatlamat memperkasa masyarakat dalam ketidaktentuan ekonomi.

"Kami berharap mempersiapkan masyarakat agar berjaya dalam ekonomi tidak menentu dan dunia yang pesat berubah dengan mewujudkan ekosistem bagi mendekati semua lapisan usia.

"Kami juga mahu memenuhi keperluan penduduk dalam peringkat kehidupan berbeza dalam program seperti KMM, Projek Bijak Belanja dan Kelab Membaca untuk ibu bapa muda dan kanak-kanak," ujar beliau yang merupakan Ketua Pegawai Perubatan di Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).

Pihaknya juga akan terus bekerjasama dengan masjid-masjid bagi merekrut lebih ramai pendamping bagi mendekati warga emas.

Bagi mencapai matlamat itu, jawatankuasa seramai 23 orang yang ditubuhkan di bawah M³@Woodlands adalah daripada berbagai latarbelakang - seperti peguam, pendidik serta PMET - agar dapat mendamping semua lapisan masyarakat.

"Para anggota jawatankuasa telah berganding bahu bagi menyokong penduduk dalam bidang keprihatinan masing-masing dengan memanfaatkan kekuatan dan kepakaran rakan kerjasama serta mereka yang berkepentingan agar dapat memenuhi keperluan masyarakat dengan lebih baik," kata Dr Noorul Fatha.


Kami juga akan bekerjasama dengan Mendaki and Muis bagi menganjurkan program untuk masyarakat Melayu/Islam dan terus memberi tumpuan kepada 3K itu... Dengan lebih ramai sukarelawan yang berbagai bakat, lebih banyak boleh dicapai. Dengan fokus kami terhadap 3K, saya berharap kami dapat menarik karyawan kesihatan dan pakar sumber manusia.
- Penasihat akar umbi yang juga Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin.

Kami berharap mempersiapkan masyarakat agar berjaya dalam ekonomi tidak menentu dan dunia yang pesat berubah dengan mewujudkan ekosistem bagi mendekati semua lapisan usia. Kami juga mahu memenuhi keperluan penduduk dalam peringkat kehidupan berbeza dalam program seperti KMM, Projek Bijak Belanja dan Kelab Membaca untuk ibu bapa muda dan kanak-kanak... Para anggota jawatankuasa telah berganding bahu bagi menyokong penduduk dalam bidang keprihatinan masing-masing dengan memanfaatkan kekuatan dan kepakaran rakan kerjasama serta mereka yang berkepentingan agar dapat memenuhi keperluan masyarakat dengan lebih baik.
- Pengerusi M³@Woodlands, Dr Noorul Fatha As'art. M3@Woodlands


SEKILAS PROGRAM M3@WOODLANDS

KelasMateMatika (KMM)

- Perkukuhkan kesediaan akademik bagi keluarga yang mempunyai anak-anak di sekolah tadika

- Sudah dikendalikan di kawasan Admiralty dan Woodlands; akan dijalankan di Sembawang dan Canberra pada September

- 13 keluarga sudah menyertainya

Acara Jalan-Jalan Dengan Masjid Yusof Ishak

- Kerjasama dengan masjid bagi acara jalan kaki secara bulanan

- Sasaran mendekati 1,000 Melayu/Islam menjelang akhir tahun ini

- Bertujuan menggalak penduduk Melayu menjalani gaya hidup lebih sihat

Program kesihatan & ceramah undang-undang

- Kerjasama dengan Masjid Assyafaah

- Menganjurkan acara senaman 'piloxing' mingguan dan ceramah mengenai undang-undang syariah, mulai September

Projek Bijak Belanja

- Dikendalikan di kawasan Canberra

- 500 keluarga sudah manfaatkannya

- Disasarkan mendekati lagi 500 keluarga di penghujung tahun depan

Inisiatif baru

- Kelab membaca untuk ibu bapa dan anak-anak bagi memupuk minat membaca

- Lebih banyak kelas/bengkel celik kewangan akan dianjurkan dengan kerjasama Lembaga CPF dan Mendaki

- Jejak warisan bagi memupuk pemahaman antara budaya dan agama