POLIS telah memberkas tiga wanita dan seorang lelaki di atas penglibatan mereka dalam penipuan yang disyaki berhubung permohonan Skim Pelepasan Pendapatan Bagi Individu Bekerja Sendiri (SIRS).
Mereka, kesemuanya warga Singapura dan berusia antara 24 dengan 55 tahun, dikatakan melakukan kesalahan itu dengan penggunaan dokumen sokongan palsu, kata polis dalam satu kenyataan pada Sabtu (8 Ogos).
Mereka diberkas pada 29 dan 30 Julai lalu.
SIRS diperkenalkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Mac lalu bagi membantu warga Singapura yang bekerja sendiri, dan mempunyai kurang sumber pendapatan dan sokongan keluarga, mengharungi tempoh mencabar akibat pandemik Covid-19.
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) membantu MOM mentadbirkan permohonan dan rayuan SIRS.
Polis berkata beberapa permohonan telah dibuat bagi pihak orang lain.
Siasatan polis bagi kesalahan menipu dan memalsukan dengan tujuan menipu sedang dijalankan.
Setiap kesalahan membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Geran pemerintah seperti SIRS bertujuan menyediakan bantuan kepada warga Singapura yang memerlukan pertolongan.
Polis berkata ia memandang serius sebaran percubaan untuk menipu berkaitan dengan permohonan geran-geran tersebut.
Polis menasihatkan orang ramai agar berjaga-jaga apabila membuat permohonan bagi geran pemerintah bagi mengelakkan daripada terlibat dalam skim penipuan dan tanpa disedari menjadi rakan subahat kepada penipu.
Orang ramai diingatkan agar menggunakan saluran rasmi untuk menghantar permohonan geran mereka. Bagi SIRS, sila lungsuri www.ntuc.com.sg/sirs atau e-mel ke sirs@ntuc.org.sg.
Polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengongsi maklumat akaun Singpass dan butiran peribadi lain atau dokumen sokongan dengan orang lain.