SEKITAR 40 penduduk dipindahkan selepas satu kebakaran berlaku di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Keat Hong pada pagi Jumaat.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), dalam satu kenyataan, berkata mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu di Blok 803 Keat Hong Close pada 10 pagi.
Ruang dapur flat di tingkat empat itu terbakar dan anggota bomba dari Balai Bomba Clementi dan Bukit Batok telah memadamkan api dengan dua jet air.
Haba dan jelaga daripada api turut merosakkan beberapa ruang lain di flat tersebut.
Dua individu telah meninggalkan unit itu sebelum anggota bomba tiba di tempat kejadian.
Seramai 40 penduduk dari unit-unit berdekatan turut dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Seorang individu, dipercayai penghuni flat tersebut yang diperiksa oleh seorang paramedik SCDF, didapati telah terhidu asap, namun beliau menolak tawaran dihantar ke hospital.
SCDF berkata punca kebakaran itu masih sedang disiasat.