DENGAN hampir 4,000 peluang pekerjaan dalam industri pelancongan, pelajar jurusan hospitaliti sedang dipersiap untuk membantu Singapura dalam usahanya menjadi destinasi pelancongan mampan dan 'syurga' kesejahteraan bandar.
Bahkan, pelajar mempunyai peranan besar dalam usaha Singapura itu, kata Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling.
Beliau mengatakan demikian dalam ucapannya di acara Transformasi Pelancongan 2023 di Pusat Konvensyen Politeknik Singapura (SP) semalam.
Acara itu bertema 'Apa Selanjutnya bagi Pelancongan Singapura?'.
Cik Low berkata melangkah ke hadapan, kemampanan dan kesejahteraan bandar adalah antara fokus bagi rakan kerja industri pelancongan.
Ini kerana terdapat permintaan yang semakin meningkat bagi perjalanan mampan dan pelancongan kesejahteraan dalam kalangan pelancong di serata dunia.
Beliau menambah bahawa Lembaga Pelancongan Singapura (STB) telah bekerjasama rapat dengan rakan kongsi lain untuk membangunkan produk dan pengalaman mampan, meningkatkan kecekapan sektor tersebut dan membina tenaga kerja pelancongan mampan.
Selain itu, STB bekerjasama dengan Persatuan Hotel Singapura (SHA) dan Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran (Saceos) untuk membangunkan dan melancarkan Rangka Kerja Kemampanan Hotel dan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (Mice), yang akan menyumbang kepada matlamat mampan Singapura serta meletak negara ini sebagai destinasi mampan.
Kebolehan tenaga kerja pelancongan akan dilatih, termasuk dalam "set kemahiran teknikal seperti pengurusan karbon, perolehan dan pengurusan rantaian bekalan hijau, serta kemahiran insaniah dalam pemasaran dan komunikasi hijau", kata Cik Low.
Menyentuh mengenai usaha Singapura menjadi destinasi kesejahteraan bandar pula, beliau berkata: "Sebagai Bandar dalam Alam Semula Jadi, Singapura akan menyediakan tawaran baru dan segar seperti kelas kecergasan, bengkel dan pengalaman gaya hidup yang meningkatkan kesejahteraan mental dan emosi."
"Sedang kita meningkatkan dan mengukuhkan nilai Singapura sebagai destinasi pelancongan mampan dan syurga kesejahteraan bandar, pelajar juga mempunyai peranan besar dalam usaha ini.
"Politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) terus memperbaiki tawaran korikulum mereka untuk memastikan pelajar... dilengkapi dengan kemahiran relevan untuk menyokong industri," tambah beliau.
Memberi contoh, Cik Low berkata SP terus memperbaiki kurikulum kursus Diploma dalam Acara Bersepadu dan Pengurusan Projek (DEPM) untuk merangkumi amalan terbaik berkaitan operasi dan acara hijau.
"Sebagai generasi pemimpin dan inovator seterusnya, saya percaya tenaga dan semangat muda anda akan menyemarakkan tawaran kreatif dan idea inovatif baru dalam sektor pelancongan," ujar Cik Low.
Beliau menambah bahawa pelajar boleh meninggalkan kesan positif dalam industri tersebut melalui pendidikan dan pemilihan kerjaya mereka.
"Sedang kita meningkatkan dan mengukuhkan nilai Singapura sebagai destinasi pelancongan mampan dan syurga kesejahteraan bandar, pelajar juga mempunyai peranan besar dalam usaha ini."
- Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling.