PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, merakamkan penghargaan negara kepada generasi perintis dengan menawarkan subsidi dan bantuan bagi memastikan keperluan kesihatan mereka terpelihara.
Diberikan dalam bentuk Pakej Generasi Perintis, mereka yang layak bakal menikmati subsidi lebih tinggi bagi rawatan di poliklinik, klinik rawatan am (GP) dan Klinik Pakar Pesakit Luar (SOC) di samping tokokan tambahan kepada Medisave serta bantuan untuk membayar premium skim insuran negara yang baru, Medishield Life, kelak.
Pakej itu akan dinikmati sekitar 450,000 warga, meliputi mereka yang mencapai usia 65 tahun atau lebih pada akhir tahun ini dan menjadi warga sebelum 1987.
Butir lanjut pakej tersebut akan diumumkan dalam ucapan Belanjawan Negara pada 21 Februari ini.