500 orang dipindahkan dek kebakaran di dapur hotel Grand Hyatt
SEKITAR 500 orang telah dipindahkan berikutan kebakaran di sebuah restoran di Hotel Grand Hyatt pagi tadi (Rabu, 27 Mac).
Rakaman video menunjukkan kepulan asap dilihat dari hotel tersebut.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia diberitahu tentang kebakaran yang berlaku di 10 Scotts Road pada sekitar 11.20 pagi.
Sekurang-kurangnya tiga kenderaan SCDF dan satu kereta polis berada di tempat kejadian.
Menurut laporan The Straits Times, kebakaran itu melibatkan dapur (stove) dan saluran ekzos dapur di sebuah restoran di tingkat dua hotel tersebut. Ia dipadamkan oleh perenjis air sebelum ketibaan SCDF.
Dua jet air kemudian digunakan untuk menyimbah air ke permukaan yang terbakar sebaik sahaja api dipadamkan untuk mencegah sebarang kebakaran susulan daripada permukaan terbakar yang panas, kata SCDF.
Kira-kira 500 orang dipindahkan dari premis tersebut oleh pegawai keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga.
Tiada kecederaan dilaporkan. Punca kebakaran masih disiasat.