Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PELAN MEMBANGUN PERUMAHAN AWAM DI MOUNT PLEASANT

5,000 flat BTO akan dibangunkan di tapak Akademi Polis Lama

Nov 24, 2021 | 05:30 AM



SEBUAH estet perumahan baru akan dibina di tapak Akademi Polis Lama seluas 33 hektar di kawasan Mount Pleasant, untuk menyediakan 5,000 unit perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).



Projek Bina Ikut Tempahan (BTO) pertama di kawasan itu akan dilancarkan dalam lima tahun mendatang.



Mengumumkan rancangan itu semalam, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata tapak itu telah diperuntuk untuk kegunaan perumahan dalam pelan induk pemerintah sejak 1998.



"Seperti yang telah kami katakan sebelum ini, permintaan bagi perumahan awam kekal tinggi. Jadi kami akan mengaktifkan tapak ini bagi sebuah estet perumahan baru untuk memenuhi keperluan warga Singapura, dan kami akan melakukannya dalam lima tahun akan datang," kata Encik Lee.



Bersempadan dengan Thomson Road dan Ekspreswe Rentas Pulau (PIE), estet perumahan baru itu berhampiran dengan kawasan perumahan matang seperti Toa Payoh.



Estet itu juga akan menempatkan stesen MRT Mount Pleasant di Laluan Thomson-East Coast (TEL), yang dijangka dibuka apabila pembangunan perumahan awam di kawasan itu siap.



Pihak berkuasa juga merancang untuk memulihara sebanyak enam bangunan di Akademi Polis Lama sebagai sebahagian pembangunan semula kawasan tersebut.



Ini menyusuli satu kajian warisan perintis yang dilakukan antara Ogos 2018 hingga September 2019 bagi pembangunan itu - kali pertama kajian sedemikian dilakukan secara terperinci dan meluas.



Di samping itu, pelan asal pembangunan estet itu juga telah disesuaikan setelah satu kajian kesan sekitaran dilakukan untuk mengurangkan kesan pembangunan itu kepada ekologi di kawasan tersebut.



Tapak tersebut, yang berbukit dan berdekatan dengan banglo hitam putih dari zaman sebelum perang, kaya dengan sejarah, kata Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) dalam satu kenyataan bersama semalam.



Agensi itu juga telah berunding dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kumpulan warisan dan alam sekitar, serta masyarakat polis mengenai pelan pembangunan yang disarankan.



Memandangkan skala dan konteks tapak itu, satu kajian perintis mengenai warisan dan Kajian Kesan Sekitaran (EIS) telah dijalankan untuk menilai aspek warisan dan ekologi, serta membimbing rancangan pembangunan masa depan HDB bagi mengurangkan kesan kepada sekitaran semula jadi dan binaan, kata agensi itu.



"Ini kali pertama kami telah melakukan kajian warisan terperinci dalam skala ini, yang memang wajar dilakukan memandangkan skala estet perumahan baru ini dan kepentingan OPA (Akademi Polis Lama)," kata Encik Lee.



Ditubuhkan pada 1929, OPA merupakan kemudahan latihan polis tetap yang pertama di Singapura, katanya.



Berdasarkan dapatan EIS dan maklum balas, pelan itu telah disesuaikan untuk memastikan estet perumahan baru itu akan disepadukan secara sensitif kepada sekitarannya.



Contohnya, pembangunan baru dan prasarana sokongan akan dibina sebahagian besarnya di tapak yang pernah dibangunkan sebelum ini (brownfield) untuk mengurangkan kesan kepada sekitaran.



Reka bentuk estet perumahan baru itu juga akan menerapkan aspek warisan dan alam sekitar di kawasan itu.



Ini termasuk pemuliharaan beberapa bangunan polis akademi dan padang perbarisan lama untuk diberi kegunaan baru.



Pusat kejiranan di estet itu akan direka dengan konsep yang terbuka, hijau dan bangunan rendah, serta ruang masyarakat bagi penduduk untuk berinteraksi, menurut kenyataan agensi itu lagi.



Kajian warisan dan EIS itu kini disediakan di laman HDB, dan orang awam diundang untuk memberi maklum balas mengenai pelan itu dari semalam hingga 21 Disember.



Pendekatan pemerintah dalam merancang estet HDB baru ini mencerminkan usaha untuk bekerjasama dengan warga Singapura bagi meraikan warisan dan sejarah dalam sekitaran binaan, kata Encik Lee.



"Ia telah memberikan kami peluang untuk merintis cara melakukan kajian kesan warisan yang berskala besar dan bebas, serta menerapkannya dalam proses perancangan kami, di mana ia relevan.



"Kami akan mengambil pengajaran daripada perintis ini untuk membimbing kami dalam kajian masa depan, dan dalam usaha berterusan kami untuk membangun satu rangka kerja penilaian kesan warisan," kata Encik Lee.



Rangka kerja itu akan memberi panduan mengenai masa dan cara untuk melakukan kajian warisan terperinci, dan bagaimana dapatannya boleh diterapkan dalam perancangan dan elemen reka bentuk, ujarnya lagi.



Bagi memberi laluan kepada pembangunan perumahan awam dan jalan raya yang akan dibina di kawasan itu, sebahagian tanah tapak Kelab Polo Singapura, akan diperoleh pemerintah.



Namun, kemudahan clubhouse, padang dan kandang kuda yang utama di kelab itu tidak akan terjejas.



SLA telah mewartakan pemerolehan tahan terjejas itu semalam.




“Ia telah memberikan kami peluang untuk merintis cara melakukan kajian kesan warisan yang berskala besar dan bebas, serta menerapkannya dalam proses perancangan kami, di mana ia relevan. Kami akan mengambil pengajaran daripada perintis ini untuk membimbing kami dalam kajian masa depan, dan dalam usaha berterusan kami untuk membangun satu rangka kerja penilaian kesan warisan.”
– Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >