KADAR vaksinasi penduduk Singapura telah meningkat sebanyak satu mata peratusan sehari.
Sehingga 25 Julai, 54 peratus penduduk sudah menerima dua dos vaksin mRNA, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Mendedahkan demikian semasa menyampaikan kenyataan menteri semalam, Encik Ong berkata program vaksinasi nasional sedang berjalan lancar.
Beliau beritahu Parlimen bahawa menjelang Hari Kebangsaan, hampir 70 peratus penduduk akan menerima dua dos vaksin mRNA.
Ini dijangka meningkat kepada sekitar 80 peratus pada awal September.
"Ini bermakna Singapura akan mempunyai kadar vaksinasi tertinggi di dunia. Ia meletakkan kita dalam kedudukan kukuh untuk beralih kepada masyarakat berdaya tahan Covid-19," ujar Encik Ong.
Namun Encik Ong menambah bahawa kadar warga emas tidak divaksin, khususnya mereka yang berusia 70 tahun ke atas, adalah satu yang membimbangkan.
Buat masa ini, lebih 70 peratus telah menerima dua dos vaksin.
Tetapi beliau menarik perhatian bahawa lebih ramai warga emas telah ke pusat vaksinasi untuk mendapatkan suntikan dan mendapatkannya daripada pasukan vaksinasi bergerak.
Jumlah warga emas menerima suntikan itu menerusi cara ini telah naik seganda sejak beberapa hari lalu - daripada 500 orang kepada lebih 1,000 orang sehari.
"Ini mungkin kerana tahap kesedaran lebih tinggi kerana lebih banyak jangkitan dalam masyarakat, penarikan peraturan yang sebelum ini tidak membenarkan vaksinasi bagi mereka yang mengalami keadaan perubatan serta usaha mendampingi masyarakat yang giat dijalankan," kata Encik Ong.
Sementara itu, memberikan perkembangan mengenai skim vaksinasi di rumah yang menyaksikan pasukan perubatan pergi ke rumah-rumah warga emas untuk memberi vaksin Covid-19, Encik Ong berkata sembilan pasukan sedemikian sudah dilancarkan sejauh ini.
Sehingga 23 Julai, 734 warga emas sudah menerima vaksin di bawah program ini.
Encik Ong berkata terdapat pendekatan lain juga - termasuk pasukan vaksinasi bergerak telah ke Pulau Ubin untuk memberi vaksin kepada warga emas.
Beliau menambah, terdapat juga doktor yang meyakinkan pesakit untuk mendapatkan vaksin dan kemudian membiarkan mereka duduk di klinik selama sehari agar mereka boleh dipantau.
"Kita mengambil usaha yang luar biasa seperti ini untuk warga emas kerana kita tidak bersedia untuk menerima kadar kematian yang tinggi di kalangan warga emas yang dialami oleh negara lain atau masih dialami mereka," terang Encik Ong.
Hasil usaha ini, 77 peratus daripada mereka yang berusia 70 tahun ke atas sudah mendapatkan dos pertama dan akan menerima dos kedua dalam masa sebulan atau lebih, kata Encik Ong.