SERAMAI enam daripada 10 pelajar sekolah rendah telah menempah slot untuk mendapatkan vaksinasi, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, pada Selasa (11 Jan).
Menerusi Facebooknya, beliau berkata sekitar 800,000 murid telah mendapatkan dos pertama mereka.
Ini merupakan lebih satu daripada tiga pelajar kohort sekolah rendah darjah satu hingga enam mendapatkan dos vaksin mereka buat kali pertama.
Encik Chan turut menambah bahawa kanak-kanak lebih muda akan diundang mendapatkan dos vaksin secara progresif.
“Tidak lama lagi, kita akan melihat anak-anak muda kita, iaitu kanak-kanak prasekolah akan diberikan undangan melalui SMS secara progresif di bawah pendaftaran Sistem Janji Temu Nasional (NAS),” kata Encik Chan.
Beliau juga berkata latihan vaksinasi pediatrik bagi pelajar di Sekolah Pendidikan Istimewa (Sped) MOE akan bermula Rabu (12 Jan).
“Pasukan Vaksinasi Mudah Alih, yang terdiri daripada kakitangan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) Singapura, yang berpengalaman mengendalikan pelajar ini akan ditempatkan secara progresif di semua 20 sekolah Sped,” jelas Encik Chan.