SEBANYAK enam perkhidmatan penerbangan akan disediakan setiap hari sebagai permulaan Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai 29 November.
AirAsia, Jetstar Asia, Malaysia Airlines, Malindo Air, Scoot dan Singapore Airlines (SIA) akan mengendali perkhidmatan ini, kata Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dalam satu kenyataan semalam.
CAAS berkata permohonan bagi Pas Perjalanan bagi Orang yang Divaksin (VTP) untuk pelawat dari Malaysia akan dibuka pada 10 pagi, 22 November.
Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) telah mengumumkan sebelum ini bahawa individu yang sudah divaksin sepenuhnya boleh berulang-alik antara Singapura dengan Malaysia melalui udara tanpa kuarantin di bawah VTL mulai 29 November.
Semalam, CAAS berkata sebelum Covid-19, Malaysia merupakan antara tiga pasaran tertinggi bagi ketibaan penumpang setiap tahun di Lapangan Terbang Changi.
"Laluan Singapura-Kuala Lumpur juga (sebelum ini) merupakan laluan udara antarabangsa tersibuk di dunia, dengan sekitar 40 penerbangan setiap hari dan 7,000 ketibaan secara purata setiap hari di Lapangan Terbang Changi," kata CAAS.
CAAS semalam juga menjelaskan peraturan di bawah VTL Singapura dan Kuala Lumpur itu.
Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang tidak divaksinasi akan dibenarkan untuk memasuki Singapura menerusi VTL jika mereka ditemani seorang pelawat VTL yang memenuhi kesemua syarat VTL.
Syarat kemasukan VTL bagi Malaysia adalah sama bagi VTL sedia ada.
Antaranya, pelawat mesti berada hanya di satu atau lebih negara VTL, atau negara/wilayah dalam Kategori I klasifikasi bagi langkah-langkah sempadan selama 14 hari berturut-turut sebelum berangkat ke Singapura.
Semua pelawat VTL juga mesti melakukan dua ujian Covid-19 - ujian Reaksi Rantaian Polimerase (PCR) atau ujian pantas antigen (ART) yang dilakukan secara profesional dalam tempoh dua hari sebelum berangkat ke Singapura, dan ujian PCR setibanya di Lapangan Terbang Changi.