Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:30
Maghrib
7:10
Isyak
8:25
Setempat

$6.8j lesap dalam pinjaman Jan-Nov lalu

Jan 02, 2020 | 07:43 PM

SEKURANG-KURANGNYA $6.8 juta ditipu daripada mangsa dalam kira-kira 1,700 kes penipuan pinjaman yang dilaporkan antara Januari hingga November tahun lalu.

Jumlah itu lebih tiga kali ganda jumlah yang dilaporkan ditipu daripada mangsa dalam kes penipuan pinjaman sepanjang 2018.

Pada tahun itu, mangsa penipuan pinjaman dilaporkan hilang $2 juta dalam 990 kes.

Dalam satu kenyataan semalam, polis memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap penipuan pinjaman, yang mungkin ada kaitan dengan pemiutang tanpa lesen.

Menerangkan modus operandi pelaku penipuan itu, polis berkata mangsa selalunya akan menerima mesej SMS atau WhatsApp menawarkan perkhidmatan pinjaman wang.

Polis menasihati orang ramai supaya jangan mengendahkan mesej seumpama itu dan melaporkan nombor itu sebagai nombor spam di WhatsApp atau di aplikasi pihak ketiga.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak harus memberikan maklumat peribadi mereka, seperti nombor kad pengenalan, SingPass atau butiran akaun bank, tambah polis.

Mereka yang ingin memberi maklumat tentang penipuan pinjaman boleh menghubungi polis di talian 1800-255 0-000 atau menghantar maklumat itu dalam talian di laman www.police.gov.sg/iwitness.

Orang ramai boleh juga menghubungi 999 untuk bantuan polis segera atau talian hotline X-Ah Long, 1800-924 5-664 untuk melaporkan sesiapa yang disyaki terlibat dalam kegiatan pinjaman haram.