TUJUH pendidik cemerlang menerima Anugerah Presiden 2020 bagi Guru (PAT) daripada Presiden Halimah Yacob dalam satu sambutan Hari Guru dan penyampaian anugerah secara maya pada Khamis (3 September).
Enam pendidik muda pula menerima Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan (OYEA) daripada Menteri Pendidikan, Encik Lawrence Wong.
Menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dalam kenyataannya, penerima PAT adalah (tidak mengikut susunan merit) Cik Shanti Deenathayalan dari Sekolah Rendah Guangyang; Cik Wong Bing Sum (Sekolah Rendah Radin Mas); Cik Yeo Chew Yong (Sekolah Menengah Fuhua); Cik Ira Wati Sukaimi (Sekolah Menengah Mayflower); Encik Francis Tang Yee Fun (Sekolah Menengah Outram); Encik Oh Chee Kiat (Institut Pendidikan Teknikal College East) dan Dr Chia Hui Teng (Politeknik Singapura).
Mereka diiktiraf kerana cemerlang dalam komitmen mereka membangun pelajar kepada potensi sepenuhnya dan dalam mengambil pendekatan inovatif dalam mata pelajaran mereka. Pendidik ini juga pengamal pembelajaran sepanjang hayat dan mentor buat rakan merkea di samping mencetus inspirasi buat pelajar menerusi kata-kata dan perbuatan.
Sewaktu tempoh penularan wabak Covid-19 ini juga, pendidik ini terus menyokong pelajar dengan mencipta pengalaman inovatif dalam talian buat pelajar mereka dengan mengenalkan permainan dalam talian sebagai unsur pembelajaran, mengendalikan sesi senaman secara langsung dan menyediakan wadah buat pelajar berkongsi bakat. Mereka juga mendekati pelajar dengan keperluan tambahan di samping rakan sekerja dan pendidik lain dengan memberi sokongan dan kerjasama dalam strategi pengajaran.
Penerima OYEA pula terdiri daripada Cik Vivienne Yap Zhi Jun dari Sekolah Rendah Kranji; Encik Desmond Lim Kok Wei (Sekolah Rendah Oasis); Cik Anushia-Devi D/O Balachandran (Sekolah Rendah Teck Ghee); Encik Alex Ang Kok Wee (Sekolah Menengah Northbrook); Encik Shane Koh Han Yeow (Sekolah Tinggi River Valley) dan Cik Vicki Yong Min Hui (Sekolah Menengah Swiss Cottage).
Mereka yang berusia antara 28 tahun dengan 34 tahun itu disifatkan sebagai cemerlang dalam mengasuh pelajar secara menyeluruh termasuk dalam memupuk pelajar yang bersedia bagi tuntutan masa depan dan dilengkapi dengan kemahiran menghurai masalah, berdaya tahan, berupaya berfikir secara kritikal, dan bersikap ihsan terhadap orang lain. Mereka juga membantu pelajar menemukan keseronokan pembelajaran.