TUJUH sekolah rendah akan beralih kepada pembelajaran di rumah (HBL) bagi tempoh dua minggu mendatang hingga tamat penggal kedua pada 28 Mei, melihat pada meningkatnya bilangan pelajar yang dijangkiti Covid-19.
Sekolah-sekolah yang disenaraikan dalam kenyataan Kementerian Pendidikan (MOE) pada Sabtu malam (15 Mei) adalah Sekolah Kong Hwa, Sekolah Rendah Palm View, St Andrew Junior School, Sekolah Rendah St Margaret, Sekolah St Stephen, Sekolah Rendah Yio Chu Kang dan Sekolah Rendah Yu Neng.
Dalam satu lampiran pos Facebook, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, berkata terdapat rancangan memberi suntikan vaksin kepada mereka di bawah usia 16 tahun sejurus kebenaran diberikan.
Beliau juga menggesa agar pusat tuisyen dan pengayaan swasta mengalihkan pembelajaran mereka ke dalam talian sewaktu tempoh genting ini. Sementara itu, pihak berkuasa akan mempertingkat pemeriksaan bagi memastikan keselamatan pelajar.
Menurut Encik Chan lagi, keutamaan segera adalah mengekang jangkitan di sekolah-sekolah dengan kes yang disahkan agar tidak merebak demi melindungi kesejahteraan pelajar dan kakitangannya.
"Kami, justeru itu, akan mengalihkan tujuh sekolah rendah ini kepada pembelajaran di rumah hingga akhir Penggal 2 sebagai langkah berjaga-jaga. Bagaimanapun, Pusat Jagaan Pelajar yang berpangkalan di sekolah akan terus menyediakan sokongan yang disasarkan buat pelajar dengan keperluan jagaan tertentu serta ibu bapa yang berdepan dengan cabaran menjaga anak mereka," jelasnya.
Dalam kes Sekolah Rendah Yio Chu Kang, pelajarnya sudah pun melalui HBL dan ini akan dilanjutkan hingga 28 Mei.
MOE menambah ia berhubung dengan sekolah-sekolah terbabit ini bagi menyediakan sokongan yang diperlukan bagi guru dan pelajar mengendalikan pembelajaran dalam talian.
Beberapa pelajar pula diuji positif Covid-19 berdasarkan maklumat terkini yang dikongsi Kementerian Kesihatan (MOH) setiap hari.