LAPAN orang dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) kerana terhidu asap dan kelecuran pada Selasa (20 Julai) selepas sebuah kapal tunda yang berlabuh di West Coast kebakaran.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bertindak pada kebakaran di 70 West Coast Ferry Road itu sekitar 4.40 petang.
Menurut SCDF dalam lampiran pos di Facebook itu, lapan orang yang berada atas kapal tunda itu dipindahkan sebelum ahli bomba dari Stesen Bomba Clementi dan Stesen Bomba West Coast Marine tiba di tempat kejadian.
Pasukan bomba yang dikerahkan kemudian menemui punca kebakaran itu di bilik enjin.
Air dipancurkan segera bagi mematikan api berkenaan, kata SCDF.
"Salah satu pertimbangan utama adalah untuk tidak memancurkan terlalu banyak air yang boleh menjejas kemantapan kapal tunda itu," tambah SCDF mengenai api yang dimatikan dalam masa 20 minit.
Menurut SGH pada Rabu, enam mangsa kebakaran ini telah dibenarkan pulang sementara dua yang lain masih dirawat di hospital.