Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BAHAS BELANJAWAN: KEMENTERIAN UNDANG-UNDANG

8,600 notifikasi pelepasan kewajipan kontrak dikemuka perusahaan, individu

Mar 03, 2021 | 05:30 AM



PERUSAHAAN dan individu telah mengemukakan lebih 8,600 notifikasi bagi pelepasan sementara daripada kewajipan kontrak mereka di bawah Akta Covid-19 (Langkah Sementara) hingga 23 Februari lalu.



Kebanyakan notifikasi itu, atau sekitar 66 peratus, berkaitan dengan perjanjian sewa beli bagi peralatan atau kenderaan komersial, serta sewa hartanah komersial dan perindustrian.



Demikian menurut Menteri Kedua Undang-Undang Edwin Tong yang berucap di Parlimen semalam.



Sementara itu, sekitar 117,000 notis geran wang tunai berjumlah $947 juta telah diberikan kepada pemilik hartanah dengan penyewa yang layak bagi pelepasan sewa hingga 23 Februari lalu.



Encik Tong yang juga Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia berkata demikian semasa berkongsi maklumat terkini tentang langkah sokongan Kementerian Undang-Undang (MinLaw) untuk membantu warga Singapura dan perusahaan menangani kesan pandemik Covid-19.



Di bawah Akta Covid-19 (Langkah Sementara) yang berkuat kuasa April lalu, perusahaan dan individu boleh mendapat pelepasan sewa daripada kontrak mereka selama enam bulan.



Ini termasuk kontrak bagi sewa hartanah perindustrian dan komersial, kontrak binaan dan bekalan serta pembayaran pinjaman tertentu yang ditawarkan bank atau syarikat kewangan kepada syarikat kecil dan sederhana.



Perjanjian sewa beli tertentu dan kontrak bagi acara seperti majlis perkahwinan dan persidangan serta tempahan kapal persiaran dan hotel turut terangkum di bawah undang-undang tersebut, yang bertujuan memberi ruang bernafas kepada pihak yang menghadapi kesukaran memenuhi kewajipan kontrak mereka disebabkan kesan pandemik Covid-19.



Tempoh pelepasan sementara itu dilanjutkan Oktober lalu bagi tempoh antara satu hingga lima bulan, bergantung pada jenis kontrak.



Rangka Kerja Penyelarasan Semula turut diperkenal sebelum ini untuk membantu perniagaan kecil dan mikro yang terjejas akibat Covid-19 untuk merunding semula kontrak tertentu.



Perniagaan yang terjejas mempunyai masa hingga Jumaat lalu untuk mengemukakan notis perundingan di bawah rangka kerja tersebut.



Encik Tong berkata 493 notis itu dikemukakan menerusi sistem elektronik dalam talian MinLaw.



Perangkaan ini tidak termasuk notis yang dikemukakan menerusi salinan cetak yang tidak boleh dijejaki kementerian tersebut.



Kebanyakan notis itu, atau 372 daripadanya, berkaitan dengan sewa atau lesen bagi hartanah komersial dan perindustrian bagi tempoh hingga lima tahun.



Baki notis yang dikemukakan pula berkaitan dengan penjualan barangan dan perkhidmatan serta perjanjian sewa dan perjanjian sewa beli bagi peralatan dan kenderaan komersial.



Rangka kerja itu juga membolehkan penyewa peralatan atau kenderaan komersial seperti pemandu kereta sewa peribadi mengambil skim pembayaran semula supaya mempunyai lebih masa untuk membayar hutang mereka.



Sebanyak 126 notis semakan telah dikemukakan bagi tujuan ini hingga Jumaat lalu, ujar Encik Tong.



MinLaw juga telah memperkenal Program Muflis Dipermudah untuk menyokong perniagaan kecil dan mikro yang menghadapi kesukaran dengan menawarkan cara yang lebih cepat dan murah untuk menyusun semula hutang mereka atau gulung tikar dan beralih ke industri yang berbeza.



Menjawab pertanyaan Encik Christopher de Souza (GRC Holland-Bukit Timah) yang bertanya tentang bantuan bagi pemilik hartanah kecil di bawah rangka kerja pelepasan sewa itu, Encik Tong berkata rangka kerja tersebut membolehkan pemilik hartanah yang lebih terjejas membahagikan separuh pengecualian sewa bagi penyewa mereka.



Tambahnya, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) juga telah bekerjasama dengan bank dan syarikat kewangan untuk membolehkan individu dan pemilik hartanah kecil yang terjejas untuk menangguh pembayaran semula pinjaman hartanah mereka tahun lalu.



Encik Murali Pillai (Bukit Batok) pula ingin tahu sama ada MinLaw akan memperkenal lebih banyak langkah.



Namun, Encik Tong berkata kementeriannya akan memantau keadaan dan membuat penyesuaian kepada langkah sedia ada jika perlu.



Tambahnya, saranan Encik Murali untuk membentuk rangka kerja perundangan yang boleh segera digunakan dalam krisis akan datang tidak sesuai kerana setiap krisis berbeza dan memerlukan respons yang berbeza.



"Kita harus berhati-hati... sebelum mengambil langkah campur tangan dalam perjanjian privet.



"Sementara rangka kerja perundangan berniat baik, nuansanya mungkin tidak mencukupi dan khusus memenuhi cabaran unik krisis akan datang," ujar beliau.



Tambahnya, sistem tadbir urus Singapura membolehkan pemerintah bertindak cepat apabila krisis melanda.



"Oleh itu, kami yakin bahawa jika perlu pada masa akan datang... kita mampu bertindak dengan cara yang serupa," kata Encik Tong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >