Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:32
Maghrib
7:16
Isyak
8:27
Setempat

900,000 isi rumah HDB terima rebat U-Save bulan ini

Apr 03, 2018 | 05:30 AM

SEKITAR 900,000 keluarga Singapura akan menerima Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk membantu membiayai sebahagian daripada bil api air mereka pada bulan April, kata Kementerian Kewangan (MOF) semalam.

Keluarga yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) satu dan dua bilik akan menerima $95, manakala mereka yang tinggal di flat tiga bilik akan meraih $85, kata MOF dalam satu kenyataan.

Keluarga yang tinggal di flat empat bilik akan menerima $75, mereka yang tinggal di flat lima bilik akan mendapat $65, dan mereka yang tinggal di flat eksekutif atau berbilang generasi akan mendapat $55.

Keluarga dengan anggota yang memiliki lebih daripada satu hartanah tidak layak untuk Baucar GST ini.

Rebat U-Save itu adalah salah satu daripada tiga komponen di bawah skim tetap Baucar GST, yang bertujuan mengurangkan perbelanjaan keseluruhan keluarga.

Rebat itu diberikan setiap tiga bulan.

Dengan rebat tahunan itu, keluarga di flat HDB satu dan dua bilik menerima sokongan yang membiayai sekitar tiga hingga empat bulan bil api air mereka secara purata, kata MOF.

Bagi mereka yang tinggal di flat tiga dan empat bilik, rebat itu menyediakan mereka dengan sokongan sebanyak kira-kira satu hingga dua bulan bil api air, menurut kementerian itu.

Sebelum ini, pemerintah telah mengumumkan dalam Belanjawan 2018 bahawa keluarga yang layak akan menerima tambahan $20 setahun selama tiga tahun, dari 2019 hingga 2021.

"Ini akan membantu keluarga untuk menyesuaikan diri dengan cukai karbon apabila ia dilaksanakan bermula tahun 2019," kata MOF, yang menambah bahawa jumlah rebat tambahan akan, secara purata, meliputi kenaikan jangkaan perbelanjaan elektrik dan gas untuk keluarga.

Rebat ini dijangka menelan belanja sebanyak $265 juta dalam setahun, mulai Julai tahun lalu.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian