Subuh
5:37
Syuruk
6:54
Zuhur
12:58
Asar
4:01
Maghrib
7:00
Isyak
8:09
Setempat

92 warga S'pura selamat pulang dari Wuhan

Warga jalani pemeriksaan, mereka yang ada simptom akan dibawa ke hospital
Jan 31, 2020 | 05:30 AM

SERAMAI 92 warga Singapura tiba di tanah air pagi semalam selepas berangkat dari Wuhan, bandar yang menjadi pusat wabak koronavirus.

Namun, beberapa lagi warga Singapura yang menunjukkan simptom virus itu masih terkandas di Wuhan.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Lawrence Wong, pengerusi bersama pasukan tindakan krisis virus Wuhan, semalam berkata segelintir bilangan menunjukkan simptom, walaupun beliau tidak serta-merta mendedahkan bilangan sebenar.

"Ia mungkin tidak selamat bagi mereka untuk pulang dalam pesawat yang sama," ujarnya sambil menarik perhatian beberapa individu itu mungkin harus dikuarantin di China.

"Kedutaan kami sedang menghubungi mereka untuk memastikan kesejahteraan mereka," tambahnya.

Sementara itu, warga Singapura yang tiba di Lapangan Terbang Changi semalam telah menjalani pemeriksaan kesihatan.

Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata: "Pegawai konsular MFA telah mengikuti penerbangan Scoot itu bagi mempermudahkan operasi daratnya di Wuhan."

Menurut kementerian itu lagi, mereka yang menunjukkan simptom demam atau sesak nafas akan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut manakala baki penumpang lain termasuk pegawai konsular MFA yang membantu mempermudahkan kepulangan warga Singapura itu dari Wuhan akan dikuarantin selama 14 hari.

Pemindahan keluar warga Singapura itu berlaku selepas penerbangan Scoot diatur secara khas untuk berlepas dari Lapangan Terbang Changi malam kelmarin bagi membawa pulang penduduk Wuhan yang terkandas di Singapura.

Scoot berkata dalam satu kenyataan bahawa pesawat itu telah mendarat di Singapura sekitar 11.40 pagi.

Penerbangan TR121 itu telah berlepas dari Wuhan ke Singapura sekitar 3 pagi semalam.

Ia merupakan penerbangan pulang bagi TR120, yang telah berlepas dari Wuhan pada malam kelmarin membawa penduduk Wuhan.

Seorang jurucakap Scoot berkata langkah-langkah telah diambil untuk memastikan keselamatan kededua penumpang dan anak kapal semasa penerbangan selama empat jam 40 minit itu.

Scoot berkata pemeriksaan suhu badan telah dijalankan di kaunter check-in dan sebelum menaiki pesawat, dan penumpang yang didapati demam tidak dibenarkan menaiki pesawat.

Pesawat itu juga telah menjalani pembersihan kuman sebelum dinaiki penumpang dan selepas ketibaannya di Singapura.

PENULARAN VIRUS WUHAN

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian