HDB melancarkan sebanyak 23,184 flat BTO tahun ini, bertambah daripada 17,000 tahun lalu, untuk memenuhi permintaan tinggi bagi perumahan awam.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, dalam catatannya berkata dalam usaha membantu keluarga memiliki rumah sendiri, kebanyakan flat yang ditawarkan dalam pelancaran kali ini terletak di estet belum matang, dengan sekurang-kurangnya 95 peratus flat empat bilik atau lebih besar diketepikan bagi pembeli kali pertama.
Menurutnya, isi rumah kali pertama yang layak boleh menikmati geran perumahan hingga $80,000 apabila membeli flat BTO yang mendapat subsidi.
"Bagi setiap pelancaran, kami berhasrat menyediakan flat dengan ciri-ciri berlainan bagi memenuhi bajet dan keperluan berbilang warga Singapura," katanya.
Dalam penjualan semasa, dua projek di estet matang Queenstown di bawah model PLH dikenakan peraturan membeli dan menjual ketat.
Projek lebih besar daripada dua projek itu ialah Ulu Pandan Banks, yang menawarkan 1,330 flat tiga dan empat bilik di tujuh blok. Ia terletak di timur Dover Forest, berdekatan stesen MRT Dover.
Empat blok rendah menghadap Ulu Pandan Canal, manakala yang berdekatan Commonwealth Avenue West adalah blok tinggi.
Harga projek ini bermula daripada $362,000 hingga $504,000 tanpa geran bagi sebuah flat tiga bilik, dan daripada $546,000 hingga $725,000 bagi sebuah flat empat bilik.
Pembeli perlu tunggu sekitar 71 bulan - hampir enam tahun - bagi flat tersebut, memandangkan projek ini dianggar siap suku ketiga 2029 - menjadikannya projek dengan tempoh tunggu paling lama dalam pelancaran ini.
Projek kedua di bawah model PLH di Queenstown ialah Ghim Moh Natura, di mana 991 flat flexi dua bilik, tiga bilik dan empat bilik di empat blok ditawarkan di sebuah tapak berdekatan stesen MRT Buona Vista.
Harga projek ini bermula daripada $364,000 hingga $487,000 bagi sebuah flat tiga bilik, dan daripada $516,000 hingga $696,000 bagi sebuah flat empat bilik.
Pembeli perlu menunggu sekitar 53 bulan - 4.4 tahun - bagi flat ini, memandangkan projek ini dianggar siap suku pertama 2028.
Projek PLH paling kecil dalam pelancaran ini ialah Kallang Horizon di estet matang Kallang/Whampoa, di mana 477 flat tiga dan empat bilik di tiga blok ditawar di atas sebuah tapak di sebelah stesen MRT Kallang.
Harga bagi projek ini bermula daripada $335,000 hingga $447,000 bagi sebuah flat tiga bilik dan daripada $509,000 hingga $690,000 bagi sebuah flat empat bilik.
Pembeli perlu tunggu sekitar 53 bulan - 4.4 tahun - bagi flat-flat ini kerana ia dijangka siap suku pertama 2028.
Dalam e-melnya kepada media, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex Realty, Encik Ismail Gafoor, menganggap langkah pemerintah merancakkan bekalan flat baru bagi memenuhi permintaan kukuh bagi perumahan awam sebagai satu langkah ke arah yang betul.
"Ini berdasarkan permintaan sa-ngat tinggi bagi flat BTO semasa pelancaran lalu, harga jualan semula yang meningkat, dan kadar sewa terus naik bagi flat HDB - menandakan permintaan bertambah bagi perumahan yang belum lagi dihuraikan," katanya.
Permohonan bagi flat-flat itu ditutup pada 1 Disember pada 11.59 malam di portal flat HDB.
Flat-flat tersebut akan diperuntuk mengikut undian.