ACARA Heartstrings Walk Community Chest kembali diadakan secara fizikal dan maya untuk edisi ke-11 tahun ini, dengan sekitar $2 juta yang telah dikumpul untuk golongan memerlukan.
Dianjurkan bersama Marina Bay Sands (MBS), acara semalam merangkumi dua segmen fizikal - maraton menaiki tangga 'Race to the Sky' di Menara Hotel Tiga MBS, serta acara berjalan beramai-ramai Charity Fun Walk di Marina Bay Waterfront Promenade.
Acara 'Race to the Sky' menarik seramai 53 individu daripada enam pertubuhan yang menaiki tangga bangunan 57 tingkat itu, dan turut disertai Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Eric Chua.
Diadakan buat julung-julung kalinya pula, Acara Charity Fun Walk mengumpulkan lebih 3,300 peserta termasuk orang ramai, pertubuhan dan pengguna khidmat sosial, menurut satu kenyataan pihak penganjur semalam.
Untuk menggalakkan sikap inklusif, orang ramai daripada pelbagai latar belakang dan keupayaan digalakkan untuk menyertai segmen tersebut.
Acara itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat; dan dihos Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling.
Selain itu, orang awam diundang untuk menyertai Acara Berjalan Virtual, dengan berjalan sendiri di tempat dan waktu yang terpilih, dari sekarang hingga 2 Oktober.
Pendaftaran untuk acara berjalan secara virtual ini dibuka hingga 18 September. Mereka yang berminat boleh mendaftar di www.comchest.gov.sg/hsw2022.
Kesemua wang yang dikumpul menerusi acara Heartstrings Walk 2022 akan disalurkan kepada lebih 100 agensi khidmat sosial dan lebih 200 program menerusi Community Chest untuk memperkasa kanak-kanak keperluan khas, belia berisiko, dewasa kurang upaya, individu dengan penyakit kesihatan mental, serta warga emas dan keluarga memerlukan.
Ketua Pegawai Operasi MBS, Encik Paul Town, berkata pihaknya teruja untuk menyambut acara fizikal Community Chest Heartstrings Walk.
"Diadakan sempena kembalinya acara Sands for Singapore Charity Festival, acara Heartstrings Walk merupakan acara finale yang sesuai bagi festival itu dan membolehkan kami untuk meluaskan pendekatan bagi menggalakkan lebih ramai orang untuk beramal demi masyarakat.
"Sebagai penganjur bersama acara Heartstrings Walk sejak 2011, kami bangga dengan kerjasama berpanjangan kami bersama Community Chest, dan berharap ia akan mencetus inspirasi kepada korporat dan individu untuk meneroka cara baru mendekati masyarakat untuk menyumbang kembali," ujar Encik Town.