MASYARAKAT Singapura mempunyai tanggungjawab bersama dalam membangun masyarakat penyayang dan inklusif, di mana golongan kurang upaya dapat memenuhi aspirasi, mencapai potensi dan menjadi sebahagian anggota yang padu dan mampu menyumbang kepada orang lain.
Mencatat demikian mengenai acara The Purple Parade di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura dalam Facebook, pada Ahad (31 Oktober) Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata ia adalah contoh cemerlang mengenai gerakan usulan orang ramai dalam meraikan kebolehan unik setiap individu dan mempromosikan gaya hidup inklusif.
“Saya berpeluang menghadiri konsert Purple Parade pada Sabtu (30 Oktober) dengan Sun Xueling dan Eric Chua dalam menyokong masyarakat kurang upaya.
“Inisiatif hasil usulan orang ramai seperti Purple Parade adalah contoh terbaik mengenai kerjasama utuh yang kita perlukan dalam mencapai visi Singapura yang lebih penyayang dan inklusif.
“Sejak 2007, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura telah bekerjasama dengan orang ramai, sektor swasta dan awam, termasuk golongan kurang upaya dan pengasuh dalam membangun Pelan Induk Membolehkan yang berturut-turut serta membimbing usaha kolektif kami dalam menyokong insan kurang upaya.
“Kami akan terus melakukannya menerusi Pelan Induk Membolehkan 2030. Marilah kita terus bekerjasama ke arah Singapura lebih penyayang dan inklusif,” ujarnya tentang konsert hibrid 90 minit itu.