KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) Singapura sedang menyiasat dan mengenal pasti warga Singapura yang menghadiri acara tabligh di Malaysia yang dikaitkan dengan jangkitan koronavirus.
Berkata demikian di Facebook pada Khamis (12 Mac), Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menggesa masyarakat supaya berwaspada dalam menjalankan kegiatan agama.
Beliau melahirkan keprihatinan bahawa beberapa kes telah disahkan daripada perhimpunan di Malaysia itu.
“Kementerian Kesihatan Singapura sedang menyiasat dan mengenal pasti hadirin warga Singapura. Jika anda telah ke sana, sila dapatkan pemeriksaan doktor - lindungi orang tersayang dan orang di sekeliling anda,” kata Encik Masagos.
Pihak berkuasa Malaysia kini giat mengesan lebih 5,000 peserta Malaysia yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.
Siasatan itu dijalankan menyusuli laporan bahawa seorang warga Brunei yang disahkan positif COVID-19 mempunyai sejarah perjalanan ke Malaysia, dan telah menghadiri perhimpunan tersebut.
Satu laman di Malaysia telah melaporkan terdapat 95 orang dari Singapura, memetik rekod kedatangan asing di majlis pada 29 Februari, yang melibatkan lebih 1,500 tetamu dari seluruh dunia, termasuk dari China, Indonesia dan Korea.