Agregat PSLE dulu 198, kini raih Kepujian Kelas Pertama

MASIH terngiang-ngiang lagi di ingatan siswazah Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Mohammad Syafiq Mohammad Suhaini kata-kata ibunya, Cik Jamaliah Yahya, selepas beliau memberitahunya keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendahnya (PSLE).

Bekas pelajar Sekolah Rendah Changkat ini mendapat agregat 198 dengan gred D bagi Matematik - mata pelajaran paling sukar baginya.

"Ibu saya katakan kepada saya, apabila saya melangkah ke sekolah menengah kelak, saya perlu belajar sendiri dan bekerja keras kerana beliau tidak lagi dapat mengajar saya lagi," kata anak bongsu dua beradik itu.

Ternyata kata-kata itu membakar semangatnya dan menggalaknya mahu melakukan yang terbaik sepanjang laluan akademiknya.

Beliau mahu membuktikan selain berkat doa dan dorongan keluarganya, keazaman, iltizam yang tinggi dan seperti kekata ibunya - kerja keras - sesiapa sahaja boleh meraih kejayaan.

Pada Khamis ini, Encik Muhammad Syafiq, 26 tahun, bakal menerima Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam jurusan Sosiologi dan telah dipilih sebagai penyampai ucapan atau valediktorian kohortnya.

Lebih membanggakan, Presiden Pemegang Biasiswa Kajian (Research Scholar) NTU ini, sedang menunggu masa melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam jurusan yang sama di Universiti Oxford, menjelang September ini.

Laporan lanjut: Walau sibuk belajar sempat berbakti kepada masyarakat .