Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ahli guaman mahu beri kesan positif kepada masyarakat

Jun 24, 2018 | 05:30 AM



SENARAI pencapaian dan penglibatan beliau yang panjang berjela boleh membuat sesiapa sahaja berasa tercegat dan terpegun.



Sejuk perut ibu yang mengandungkannya. Manakan tidak.



Sejak di bangku sekolah, sentuhan kecemerlangan dan keunggulan mewarnai setiap perjalanan hidupnya.



Senarai pencapaian Encik Muhammad Danial Hakim Rosli, 26 tahun, bermula apabila beliau dinobatkan sebagai pelajar terbaik Sekolah Rendah Pei Tong bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE ) pada 2003.



Berbekalkan aggregat 268, beliau berjaya merebut tempat di sekolah terunggul Singapura, Raffles Institution (RI) dan kemudian Maktab Rendah Raffles (RJC).



Keputusan cemerlang dalam Peperiksaan GCE A segera menyusul dan membawa beliau ke Fakulti Undang-Undang Universiti Nasional Singapura (NUS) di mana beliau lulus dengan ijazah kepujian kedua (atas).



Dalam Perkhidmatan Negara, kecekapan anak muda yang berbakat ini turut menyerlah sehingga diberi kepercayaan menjawat jawatan Inspektor Polis.



Bakat dan kecenderungan peguam muda ini tidak terbatas pada bidang akademik semata-mata.



Di RI, beliau diberi Anugerah Merit Raffles kerana cemerlang dalam daya kepimpinan dan pengurusan kegiatan ko-kurikular antara lain sebagai Kapten Rumah (Sukan), anggota lari pecut dan skuad bola sepak sekolah.



Di NUS, beliau merupakan pemimpin pelajar dan pernah menjadi Naib Pengerusi Jawatankuasa Orientasi Fakulti Udang-Undang dan Presiden Kelab Undang-Undang NUS - anak Melayu kedua yang pernah menyandang jawatan itu sejak penubuhannya.



Ditanya apakah kegagalan atau kesulitan yang pernah dialaminya, Encik Muhammad Danial, yang sebelum ini berkhidmat di syarikat guaman Eversheds Harry Elias dan berniat menyertai Perkhidmatan Awam tidak lama lagi, menjawab:



"Alhamdulillah, saya tidak pernah mengalami kesulitan atau rintangan besar dalam hidup sejauh ini. Cuma saya pernah hampir gagal di tahun pertama Maktab Rendah akibat terlalu sibuk dalam kegiatan CCA. Tapi mujur saya segera baiki diri dan tumpukan semula perhatian saya.



"Bagaimanapun, kesulitan ini tidaklah setanding dengan apa yang dialami teman-teman dan orang sekeliling saya yang ditimpa isu keluarga, kematian orang terdekat dan masalah kewangan.''



Berbekalkan semangat ingin menyumbang kembali kepada masyarakat, anak sulung dalam keluarga dua beradik itu dan masih belum berumah tangga itu giat menyumbang tenaga sukarela.



Semangat kemasyarakatan berputik selepas beliau menemani ibunya yang bertugas di Persatuan Terencat Akal Singapura (Minds) dalam acara-acara anjuran badan itu sejak di sekolah rendah lagi.



"Kita semua merupakan produk hasil bimbingan dan sumbangan individu-individu di sekeliling kita. Jadi, secara peribadi, saya rasa adalah menjadi satu tanggungjawab untuk menurunkan semangat muhibbah ini dan mendatangkan kesan positif pada masyarakat,'' kata beliau.



Antara individu tersebut termasuklah ibu bapa beliau sendiri - Encik Rosli Saleh, seorang teknisyen berpendidikan sekolah menengah; dan Cik Shafiyah Ahmad Sarwan, Ketua Pusat di Minds, yang berpendidikan GCE "A". Kededua berusia 56 tahun.



"Mereka banyak menyokong saya dan menyediakan sekitaran baik untuk anak-anak membesar.



"Walaupun tidak mampu membantu dari segi akademik, mereka memberi kasih sayang, keprihatinan dan kepercayaan sehingga saya berjaya,'' ujar beliau yang diwawancara Berita Harian di flat maisonet HDB ibu bapanya di Jurong West.



Kini, Encik Muhammad Danial giat membantu Anggota Parlimen GRC Jurong iaitu Encik Desmond Lee, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, dan Encik Ang Wei Neng dalam menguruskan ehwal dan kegiatan penduduk sejak empat tahun lalu.



Antara lain, beliau merupakan pengasas bersama Klinik Guaman Jurong Spring yang dilancarkan pada 2016.



Beliau juga anggota pasukan yang bakal melancarkan satu inisiatif kepimpinan masyarakat bagi mendekati dan membimbing pelajar sekolah menengah di Jurong Central.



Tidak cukup dengan itu, Encik Muhammad Danial, yang meluangkan lebih 10 jam seminggu dalam kerja kemasyarakatan, juga mengetuai program mentor dan dialog guaman di Kelab Mendaki, menjadi anggota Jawatankuasa Semakan Strategik HometeamNS dan mentor bagi pesalah dadah kali pertama di Pusat Pemulihan Masyarakat.



Ditanya apakah arah tujuan dalam kerja kemasyarakatan, beliau menjawab sambil tersenyum: "Dengan bertambahnya ilmu, pengalaman dan sumber-sumber, saya berharap dapat menambahkan lagi sumbangan saya dalam masa beberapa tahun mendatang ini.''




"Kita semua merupakan produk hasil bimbingan dan sumbangan individu-individu di sekeliling kita. Jadi, secara peribadi, saya rasa adalah menjadi satu tanggungjawab untuk menurunkan semangat muhibbah ini dan mendatangkan kesan positif pada masyarakat.''
- Encik Muhammad Danial Hakim Rosli.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >