Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ajaran sesat: Muis bertindak sejak 2018

Sangkal dakwaan ia lambat bertindak, tekankan telah laksana langkah sewajarnya bagi menangani kes
Dec 02, 2020 | 05:30 AM



MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) menyangkal dakwaan di media sosial bahawa mereka lambat bertindak terhadap kes dikatakan ajaran sesat yang diketengahkan baru-baru ini.



Dakwaan itu mengatakan Muis tidak bertindak sepanjang empat tahun hingga kes tersebut diketengahkan akhbar The Straits Times.



"Muis faham bahawa masyarakat sangat prihatin terhadap isu ajaran sesat. Namun, Muis ingin mengingatkan orang ramai supaya bertindak secara bertanggungjawab, terutama sekali apabila memberikan komen dalam wadah media sosial yang mana kenyataan palsu mampu tersebar pantas tetapi sukar disahkan.



"Kita juga tidak patut memberikan komen terhadap isu yang masih disiasat untuk mengelakkan penyebaran fitnah dan kepalsuan ke atas mereka yang tidak bersalah. Kelakuan ini melanggar peraturan dan prinsip keadilan," ujar Muis dalam satu kenyataan semalam.



Isu itu melibatkan kegiatan seorang lelaki yang dikatakan menyeleweng dan mengaku menjadi nabi. Bekas tukang urut berusia 50-an tahun itu juga dikatakan telah menjalani nikah batin bersama lima wanita.



Muis berkata mereka sudah menjalankan siasatan pada 2018 dan melaksana langkah sewajarnya untuk menangani kes itu, termasuk menemui individu terbabit dan mengeluarkan surat nasihat menggalak mereka menghentikan kegiatan itu.



Penerangan tentang tindakan Muis disebarkan menerusi satu kenyataan pada 10 November. Dalam kenyataan itu, Muis berkata mereka akan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi menjalankan siasatan terperinci.



Muis juga menjemput orang ramai, terutama sekali mereka yang mendapatkan ajaran itu, tampil memberi bahan bukti seperti rentetan e-mel, dokumen, nota ceramah dan rakaman suara atau video selewat-lewatnya pada 11 Disember.



Semalam, Muis juga menepis selaran bahawa mereka tidak serius melawan pengaruh ajaran songsang. Ekoran tuduhan sedemikian, segelintir anggota masyarakat meragui kepedulian Muis secara keseluruhannya terhadap kehidupan sosioagama Muslim Singapura, ujar Muis.



"Malang sungguh hal ini. Muis dan pegawai kami sangat beriltizam menyokong kehidupan sosioagama masyarakat dari pelbagai sudut. Sepanjang tahun lalu, kami bekerja keras membantu masyarakat menyesuaikan diri kepada persekitaran baharu ekoran pandemik Covid-19," ujar Muis.



Menurut Muis, saban tahun mereka berusaha dengan rakan masyarakat bagi memastikan masyarakat berupaya mendapatkan ajaran Islam yang benar. Misalnya Muis menganjurkan program keagamaan di masjid dan dalam talian, memperkukuh pendidikan madrasah dan menubuhkan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).



Muis juga bekerjasama dengan rakan utama untuk membasmi penyebaran fahaman pelampau dan ajaran songsang.



Oleh sebab itu, Muis menekankan kepentingan proses runding cara dan terbuka menerima maklum balas orang ramai. Namun, mereka tidak akan menerima taburan fitnah yang berupaya menghakis rasa percaya serta silaturahim antara Muis dengan masyarakat yang terbina selama ini.



"Kami enggan mengambil tindakan undang-undang tetapi kami bersedia melakukannya ke atas individu yang terus menyebarkan kepalsuan, dakwaan tidak berasas dan sindiran. Kami menyeru semua pihak dalam masyarakat supaya bekerjasama dengan Muis untuk membina masyarakat Islam Singapura yang mencapai kejayaan," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >