MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) sekali lagi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau bukti supaya tampil membantu dalam siasatan terhadap kegiatan yang didakwa melibatkan lelaki yang memimpin kumpulan ajaran sesat dan mendakwa dirinya nabi.
Dalam satu kenyataannya, Muis, yang telah bekerjasama dengan pihak berkuasa relevan untuk melakukan siasatan menyeluruh, masih memerlukan bahan bukti yang boleh dipercayai termasuk catatan kuliah, rakaman suara atau video serta saksi yang bersedia memberi keterangan berhubung hal itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tersebut boleh mengemukakannya kepada Muis hingga Jumaat ini.
"Muis ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota masyarakat yang telah ke hadapan. Kami kini sedang memproses maklumat dan penyerahan itu sebelum melangkah ke tahap siasatan seterusnya," kata Muis.
Dalam pada itu, Muis turut menekankan lagi tentang peri pentingnya masyarakat mendapatkan bimbingan dan pengetahuan agama dari asatizah yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).
Orang ramai boleh mendapatkan pengesahan daripada Muis atau pejabat ARS dengan mengirim e-mel kepada info@muis.gov.sg jika mendapati terdapat individu yang membuat kenyataan yang diragukan atau menyebarkan ajaran sesat.