Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

REAKSI TERHADAP FATWA TENTANG AJARAN SESAT

Ajaran sesat wujud dan Mufti, Jawatankuasa Fatwa pastikan Muslim tidak tersasar: Ustaz Hasbi

Masyarakat Islam dinasihati rujuk soal agama kepada pakar dan ahli sebenar
Dec 11, 2021 | 05:30 AM



AJARAN Islam yang menyeleweng telah wujud dalam kalangan masyarakat di Singapura sejak sekian lamanya, dan ia masih berlaku hingga hari ini.



Justeru, Mufti dan Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan umat Islam di sini mendapat didikan serta bimbingan betul agar mereka tidak tersasar daripada ajaran Islam yang sebenar.



Ini dinyatakan seorang anggota penuh Jawatankuasa Fatwa Singapura, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, ketika mengulas mengenai fatwa yang dikeluarkan Rabu lalu bagi membantu masyarakat mengenal pasti ciri-ciri ajaran sesat.



"Perkara tentang ajaran sesat berlaku dan masih lagi berlaku dalam kalangan masyarakat di sini.



"Jadi menjadi tanggungjawab Mufti dan Jawatankuasa Fatwa untuk memberi bimbingan dan petunjuk kepada masyarakat Islam khususnya, dan masyarakat Singapura secara umumnya, agar mereka berpandu ke arah perjalanan agama yang betul.



"Lebih-lebih lagi apabila isu ini ditimbulkan sendiri oleh masyarakat," kata beliau, yang juga presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).



Ajaran Islam yang menyeleweng sekali lagi mendapat perhatian ramai tahun lalu menyusuli laporan media tentang seorang lelaki yang mendakwa menjadi 'nabi' dan mengamalkan 'nikah batin'.



Beliau bukan guru agama yang diiktiraf dan berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).



Malah pada 2018 beliau diperintahkan Muis supaya menghentikan sebarang kegiatan keagamaannya dengan serta-merta, apabila kes itu pertama kali mendapat perhatian Muis.



Mengenai kes orang itu, yang mempunyai lebih lima isteri, Ustaz Hasbi berkata sama ada ajarannya betul atau tidak, berpandukan rukun Islam dan iman orang Islam lain secara dasarnya tentu tahu dan dapat mengenal pasti apakah ia ajaran sesat.



"Mereka seharusnya tahu bahawa tiada lagi nabi selepas Rasulullah saw dan dalam kehidupan hari ini, tidak lagi kita dengar tentang seorang lelaki mempunyai lima isteri.



"Kita perlu membimbing mereka yang dikhuatiri telah rosak iman dan hatinya. Jadi inilah antara peranan Mufti dan Jawatankuasa Fatwa," ujar beliau lagi.



Dalam konteks kehidupan di Singapura, kata Ustaz Hasbi, usaha menangani ajaran sesat adalah lebih penting.



Ini kerana masyarakat di sini hidup dalam persekitaran berbilang agama, bangsa dan fahaman.



"Tiada undang-undang atau peraturan keagamaan yang menyekat seseorang itu menganuti sesuatu agama. Dalam keadaan ini, kita sangat perlu bimbingan petunjuk yang sesuai berpandu kehidupan di sini.



"Ajaran sesat memang berlaku dalam kalangan umat Islam dan jika ia tidak dijaga dan ditangani, ia boleh memporak-perandakan seluruh rakyat Singapura kerana ia boleh menyebabkan pergaduhan, perselisihan faham dan perbalahan," tegas beliau.



Mengambil contoh kumpulan pengganasan Jemaah Islamiyah (JI), Ustaz Hasbi berkata jika mereka berjaya melakukan apa yang mereka rancang hendak lakukan, ia akan menjejas bukan umat Islam sahaja, malah seluruh Singapura.



Oleh itu, beliau menggesa dan menasihati orang ramai supaya merujuk kepada orang yang lebih pakar, seperti ulama, asatizah dan badan Islam yang diiktiraf di sini berhubung perkara berkaitan agama.



"Saya mengesyorkan kepada masyarakat agar dalam masalah agama, rujuklah kepada pakar dan ahlinya, seperti kita akan merujuk kepada doktor bagi masalah kesihatan kita," kata Ustaz Hasbi.




"Tiada undang-undang atau peraturan keagamaan (di Singapura) yang menyekat seseorang itu menganuti sesuatu agama. Dalam keadaan ini, kita sangat perlu bimbingan petunjuk yang sesuai berpandu kehidupan di sini. Ajaran sesat memang berlaku dalam kalangan umat Islam dan jika ia tidak dijaga dan ditangani, ia boleh memporak-perandakan seluruh rakyat Singapura kerana ia boleh menyebabkan pergaduhan, perselisihan faham dan perbalahan."
- Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, anggota penuh Jawatankuasa Fatwa dan presiden Pergas.



INFOGRAFIK: JAWATANKUASA FATWA




Beza antara irsyad, fatwa



IRSYAD: Panduan keagamaan berhubung isu baru dan adalah jawapan sementara (provisional) berdasarkan bahan sedia ada dalam korpus pengajian Islam.



FATWA: Keputusan sebulat suara - diputuskan Jawatankuasa Fatwa di Singapura - mengenai isu rumit yang ada kalanya memerlukan keputusan baru, dan adalah berdasarkan penyelidikan mendalam dan menyeluruh.




Dua contoh ajaran difatwakan sebagai ajaran sesat oleh jawatankuasa fatwa MUIS



  • Ajaran Madrasah Faiz al-Baqarah

Ajaran ini difatwakan sebagai sesat oleh Jawatankuasa Fatwa pada 2011. Ia berdasarkan ajaran "Roh Mutmainnah" yang dipelopori Hassan Jonit dan mempunyai unsur pendustaan ke atas Allah dan Rasul-Nya. Ia juga tiada asasnya dari segi syariat dan hanya berdasarkan hawa nafsu dan keinginan peribadi.



Antara dakwaan utama ajaran ini ialah:



a) Mendakwa mempunyai guru dari alam ghaib bernama "Muhammad Noor" yang mempunyai persamaan dengan Allah dan merupakan cahaya dari Nabi Muhammad



b) Suara yang didengari oleh guru tersebut adalah "ilham" dari Loh Mahfuz yang harus diikuti walaupun bercanggahan dengan hukum syariat.



c) Amalan agama termasuk tatacara pelaksanaan solat boleh berubah dan digantikan dengan amalan yang lain berdasarkan "ilham" yang diterima. Sebagai contoh, ibadah solat boleh digantikan dengan berzikir dan sebagainya.



d) Al-Quran boleh ditafsirkan menggunakan "ilham", tanpa mengikuti kaedah tafsiran yang disepakati ulama' dan tanpa memahami bahasa Arab.



  • Ajaran Ahmad Laksamana

Pada 1987, Jawatankuasa Fatwa menfatwakan buku Hakikat Insan sebagai ajaran sesat, dua tahun selepas ia ditulis oleh Ahmad Laksamana Omar.



Beliau mengembangkan ajaran Ilmu Hakikat - satu ajaran Al-Batiniyyah yang dianggap terkeluar daripada Islam - dan menolak konsep ubudiyyah atau penyembahan Allah.



Antara lain, ajaran utama Ahmad Laksamana ialah:



a) Mengenal diri berasal daripada Allah dan menolak konsep penyembahan Allah atau ibadah termasuk solat lima waktu.



b) Membolehkan nikah batin dengan mengaitkan beberapa ayat/huruf Al-Quran dengan anggota seks manusia



c) Percaya pada kandungan tersembunyi dalam huruf Al-Quran yang menyeleweng. Sebagai contoh, kalimat "Alhamd" dianggapnya meliputi segala rukun agama.



Maka "alif" bermaksud syahadat, "lam" bermaksud solat, "ha" bermaksud puasa, "mim" bermaksud zakat dan "dal" bermaksud haji.



Sumber: MUIS



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >