Subuh
5:56
Syuruk
7:13
Zuhur
1:17
Asar
4:25
Maghrib
7:19
Isyak
8:27
Dapatkan laporan terkini berkaitan Covid-19. Ikuti kami di Telegram
Setempat0

Akeem tak jahat

Aug 11, 2019 | 05:30 AM

BERBAJU panas besar hitam, seluar baggy dan rantai berwarna emas tergantung di leher.

Pendek kata ini memang gaya swagger hip-hop yang sinonim dengan seorang rapper.

Maka tidak hairanlah apabila rapper setempat Akeem Jahat melangkah masuk ke pejabat Berita Harian, wartawan dan personaliti Suhaimi Yusof, yang kededuanya merupakan hos bersama podcast #NoTapis, melakukan aksi rap kepadanya.

Akeem atau nama sebenarnya Muhammad Nur Hakim Jumahil, 30 tahun, hanya tersenyum apabila melihat gelagat kami.

Baginya ia sudah menjadi satu kebiasan terutama dalam dunia underground hip-hop yang mempunyai identiti dan gaya tersendiri.

Berita Popular

Justeru untuk memastikan lagu yang disajikannya mendapat perhatian pengikutnya, Akeem sering memastikan lagu yang dihasilkannya itu sebati dengan sanubari mereka yang mendengarnya.

Rap yang diselang-selikan bahasa Melayu dan Inggeris itu mengaitkan pengalaman hidup dan keadaan sebenar di sekeliling Akeem yang dijadikan sebagai sandaran dan pencetus inspirasi.

Setiap lagunya mempunyai pengajaran dan nasihat berkenaan pelbagai isu yang membelenggu masyarakat seperti dadah.

"Kalau saya dekati mereka dan cakap 'Bro, jangan buat macam ini', saya rasa nasihat itu tak makan kerana mungkin dorang pun cakap saya tak alim mana pun.

"Justeru, saya cuba selitkan dalam lagu saya nasihat seperti itu," katanya.

Menurutnya walaupun menyentuh tentang dadah, beliau akan mengakhiri lagunya sama ada dengan perkataan 'penjara' atau 'mati' sebagai peringatan kepada pendengar.

Akeem telah mengeluarkan beberapa 'mixtape' termasuk SeluDOPE, Duit Rokok dan Gua Love Minahs.

Tetapi lagunya berjudul Woodlands merupakan antara yang paling popular, sehingga amat dikenali di Seberang Tambak.

Bait lagu itu berbunyi:

"Gua Woodlands sampai hujung nafas,

Dari Marsiling sampai road keluar Gambas,

Sebelah Negeri Johor Bahru,

I bet even orang Malaysia pun tau,

Kampung bandar hutan yang berkonkrit,

We the best, DJ Khaled pun tak boleh compete..."

Menurut Akeem lagu itu dihasilkan selepas melihat beberapa temannya sibuk mendendangkan lagu bertajuk New York nyanyian Alicia Keys.

"Melihat kesungguhan mereka sambil melaungkan bait lagu New York, New York, New York saya macam apa ni.

"Kawan-kawan saya tu pun belum pernah pergi New York. Tak tau apa pun kat sana tapi nyanyi macam faham.

"Jadi saya terus terfikir kenapa tidak saya tulis lagu tentang tempat tinggal saya - Woodlands?

"Lagipun penyanyi M. Nasir dan kumpulan Kembara sendiri menulis lagu berjudul Bas Nombor 13 dan sehingga hari ini, orang tahu nombor bas tersebut boleh membawa mereka ke Geylang.

"Jadi itu yang saya mahukan, saya mahu masyarakat yang mendengar muzik saya kenali asal-usul dan bangga dengan tempat tinggal mereka," katanya.

Menyentuh tentang nama 'Jahat' yang dipilih, Akeem tertawa sambil menerangkan bahawa 'Jahat' itu sebenarnya merupakan satu akronim.

"Jahat bermaksud 'Jalan Ada Haluan Ada Tujuan'.

"Sebelum saya mula terlibat dalam dunia seni ini, saya mencari dalam talian, penyanyi bernama Akeem ramai. Jadi untuk membezakan dan tampak unik, saya gunakan nama Jahat," katanya lagi.

Ternyata "kejahatan" Akeem itu bukan hanya sekadar tersemat dalam lagu atau di Woodlands sahaja, tetapi kini usahanya untuk menyebarkan mesej positif mendapat perhatian lebih meluas.

Baru-baru ini, Akeem telah diundang membuat persembahan sebagai sebahagain daripada Pesta Raya di Esplanade.

Beliau juga telah membuat persembahan semasa karnival DrugFreeSg, di mana beliau telah mempromosikan gaya hidup sihat yang bebas dadah.

"Kalau saya dapat mengubah seorang menerusi lagu, saya gembira kerana sekurang-kurangnya mereka tahu saya bukannya jahat tapi sebenarnya baik!" ujarnya.


Jahat bermaksud 'Jalan Ada Haluan Ada Tujuan'. Sebelum saya mula terlibat dalam dunia seni ini, saya mencari dalam talian, penyanyi bernama Akeem ramai. Jadi untuk membezakan dan tampak unik, saya gunakan nama 'Jahat'.
- Akeem Jahat mengenai makna sebenar di sebalik nama pilihannya itu.


Yuk dengar apa kata Akeem!

JAHAT tetapi...

Ikutilah penjelasan penyanyi rap tempatan Akeem Jahat dalam podcast #NoTapis baru-baru ini mengenai pemilihan namanya yang lebih berupa satu inisiatif untuk mendapat perhatian ramai.

Dalam podcast dua episod ini, Akeem atau nama sebenarnya Muhammad Nur Hakim Jumahil, turut mengongsi bagaimana jerih payah kehidupan selain pengalaman teman-temannya mengenai gejala-gejala kurang sihat, dijadikan intipati bagi lagu rap beliau.

Untuk mendengar podcast bersama Akeem ini, anda hanya perlu memuat turun Spotify dan mencari podcast #NoTapis.

Selain Spotify, #NoTapis boleh dimuatturunkan menerusi wadah digital Berita Harian, yakni www.beritaharian.sg.

Siri 'podcast' #NoTapis mengetengahkan personaliti popular Suhaimi Yusof dan koresponden BH Shahida Sarhid sebagai pengacara.

Setelah 30 episod, #NoTapis menduduki tangga keempat kedudukan 10 teratas dalam carta 'podcast' Spotify dengan lebih 20,000 muat turun.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map