Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

VTL (DARAT) SG-MALAYSIA

Akhirnya rindu suami, anak isteri, keluarga terubat sudah

Nov 30, 2021 | 05:30 AM



SUDAH dua tahun beliau tidak dapat berada di sisi suami tercinta, terpisah antara dua negara dek sekatan sempadan.



Namun ketika ditemui semalam, Cik Saimah Ali, 74 tahun, jelas ghairah dapat kembali ke pangkuan suaminya di Johor Bahru apabila beliau menaiki bas ke sana di bawah skim Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) (Darat) antara Singapura dengan Malaysia.



"Saya sangat gembira kerana sudah dua tahun tak jumpa suami.



"Lagipun, dia sakit barah dan tinggal seorang diri di sana, jadi saya mesti nak balik nak jaga suami," ujarnya.



Cik Saimah, seorang warga Singapura yang mempunyai pas lawatan jangka panjang di Malaysia, pulang ke Singapura dan tinggal bersama anak perempuannya di sini selepas Malaysia menutup sempadan daratnya dengan negara ini Mac tahun lalu.



Sementara itu, suaminya, Encik Ahmad Ali Salim, 77 tahun, merupakan seorang warga Malaysia dan tinggal di Taman Mutiara Rini, Johor Bahru.



"Selama dua tahun ini, kami cuma berhubungan menerusi telefon... satu hari entah berapa kali telefon, sampai 10 kali agaknya," ujarnya.



Cik Saimah merupakan antara penumpang pertama yang menaiki bas untuk ke Seberang Tambak pada hari pertama VTL (Darat) itu bermula semalam.



VTL (Darat) buat masa ini hanya dibuka kepada warga, penduduk tetap (PR) atau pemegang pas jangka panjang negara yang mereka masuki.



Tinjauan Berita Harian (BH) di Pusat Pertukaran Bas Sementara Woodlands semalam menunjukkan penumpang yang menaiki bas Transtar Travel di bawah skim itu sudah mula beratur seawal 6.30 pagi meskipun bas pertama bertolak pada 8 pagi menuju ke Terminal Bas Larkin Sentral di Johor Bahru.



Mereka tidak perlu menjalani kuarantin dengan skim itu namun perlu mengambil ujian Covid-19 sebelum berangkat dan sejurus tiba di negara yang dituju.



Langkah itu disambut baik Encik Nazrin Shah Isman, 31 tahun, seorang jurutera IT warga Malaysia yang sudah tujuh tahun bekerja di Singapura.



Bapa seorang anak lelaki berumur setahun itu pernah pulang ke Johor Bahru dua kali sebelum ini - tahun lalu dan semasa Aidilfitri tahun ini - di bawah skim Peraturan Ulang-Alik Berkala (PCA).



Namun, skim itu memerlukannya menjalani kuarantin dan Encik Nazrin pernah membayar hingga $3,000 termasuk bagi kos penginapan di hotel untuk menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).



"Pada mulanya saya jangkakan perlu ambil Ujian Pantas Antigen (ART) tiga kali saja tapi yang terkini diumumkan perlu empat kali. Saya setuju dengan langkah ini kerana saya pun tak mahu jadi punca kenaikan kes di Singapura nanti," ujarnya.



Bagi Cik Ummi Syahida Damanhuri, 26 tahun, yang meninggalkan Singapura dengan menaiki bas Transtar Travel sekitar 9.20 pagi semalam, beliau gembira VTL (Darat) ini membolehkannya pulang untuk berjumpa dengan keluarga buat kali pertama sejak Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, tanpa perlu menjalani kuarantin.



"Sepatutnya saya pulang di bawah skim PCA tapi apabila VTL (Darat) ini diumumkan, bos saya suruh saya mengikuti skim itu dan beliau bantu saya memohon baginya," ujar operator gudang warga Malaysia itu yang dihantar suaminya, Encik Abdul Fattah Kamsani, ke Pusat Pertukaran Bas Sementara Woodlands, semalam.



Encik Abdul Fattah, 34 tahun, yang merupakan seorang warga Singapura akui rasa tidak mahu berpisah dengan isteri namun redha kerana mahu isterinya gembira.



"Saya pun berpesan dengannya untuk jaga prosedur operasi standard (SOP). Dengan adanya varian baru ini, risau juga rasanya," ujar pengurus kargo itu.



VTL (Darat) yang bermula semalam juga memberi peluang kepada pekerja Malaysia seperti Encik Bali Anak Jalang, 36 tahun, pulang meraikan detik gembira bersama keluarganya yang tinggal di Johor Bahru meskipun lewat beberapa bulan.



Menurut teknisyen alat hawa dingin yang berasal dari Sarawak itu, beliau gembira akhirnya dapat pulang untuk menimang cahaya matanya yang dilahirkan lima bulan lalu.



"Saya pernah pulang Oktober tahun lalu dan selepas itu memang ada perasaan nak balik lagi tapi saya batalkan niat saya kerana kos kuarantin yang mahal, hingga beribu dolar," ujar bapa lima anak itu yang sudah 16 tahun bekerja di Singapura.



Namun, beliau gembira majikannya memberinya sokongan dan membantu beliau memohon untuk pulang di bawah VTL (Darat), malah menghantarnya untuk naik bas semalam.




INGIN JAGA SUAMI SAKIT



“Suami saya sakit, saya mesti nak balik kerana dia tinggal seorang diri. Dah dua tahun kami tak jumpa sejak Covid-19, tak pernah balik pun. Jadi bila dapat peluang (VTL (Darat)) macam ini, saya suka sangatlah kerana dapat jumpa suami.”
– Cik Saimah Ali, 74 tahun, warga Singapura yang mempunyai pas lawatan jangka panjang di Malaysia manakala suaminya seorang warga Malaysia yang menetap di Johor Bahru.



DUA TAHUN TAK BALIK JUMPA KELUARGA



“Sepanjang hampir dua tahun ini saya tak balik berjumpa dengan keluarga, tiap-tiap hari saya ‘video call’ mereka. Ini dah jadi macam satu kewajipan. Kali ini, saya balik dua bulan. Walaupun tak cukup rasanya, sekurang-kurangnya saya dapat meluangkan masa bersama keluarga selama dua bulan ini selepas kehilangan masa dua tahun dengan mereka.”
– Cik Ummi Syahida Damanhuri, 26 tahun, operator gudang warga Malaysia yang berumahtangga dengan seorang warga Singapura.



TAK SABAR TIMANG ANAK BARU LAHIR



“Waktu isteri saya nak bersalin, saya tak dapat bersama dengannya. Setiap hari kami ‘video call’ dan saya cuma dapat melihat anak saya membesar menerusi skrin telefon tapi nak mandikannya, nak membelainya, itu semua saya tak dapat buat.”
– Encik Bali Anak Jalang, 36 tahun, teknisyen alat hawa dingin yang berasal dari Sarawak dan bapa lima anak yang keluarganya tinggal di Johor Bahru.



NAK BERI KEJUTAN KEPADA IBU DAN AYAH



“Kali ini saya balik, saya nak pulang ke kampung di Batu Pahat bersama isteri dan anak. Orang tua saya belum tahu lagi, jadi saya nak beri mereka kejutan. Dengan VTL (Darat) ini, mungkin Januari atau waktu Hari Raya nanti, saya nak ambil cuti lebih lama untuk pulang ke Johor Bahru untuk bersama keluarga.”
-- Encik Nazrin Shah Isman, 31 tahun, jurutera IT, yang akan pulang ke Johor Bahru selama tiga hari sebelum kembali ke Singapura.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >