Akibat cuaca buruk empat pesawat mendarat di Batam

EMPAT penerbangan awam yang seharusnya mendarat di Lapangan Terbang Changi terpaksa dilencongkan pendaratannya di Batam semalam (22 Nov) disebabkan cuaca buruk republik ini, lapor laman berita The Straits Times hari ini.

Antara empat pesawat yang terjejas ialah pesawat Singapore Airlines dari Tokyo yang mendarat di Singapura lima jam terlewat selepas tiga percubaan untuk mendarat di Lapangan Terbang Changi gagal tengah hari semalam dan terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Hang Nadim di Batam, bagi pengisian minyak.

Pesawat SQ631 yang membawa 259 penumpang, mendarat di Batam pada 2.49 petang semalam dan hanya berlepas ke Singapura pada 7.25 malam.

Pesawat yang seharusnya mendarat pada 3.25 petang di Changi Airport, akhirnya tiba pada 8.50 malam.

Tiga lagi pesawat yang terjejas ialah pesawat Tiger Air dari Hong Kong dengan104 penumpang, pesawat SIA dari Brisbane dengan 289 penumpang dan pesawat SilkAir dari Thailand dengan 131 penumpang.

Kesemua mereka tiba di Batam beberapa minit sebelum pesawat SQ631 dan berlepas ke Singapura antara 4.23 petang dan 5.46 petang.

Kesemua penumpang kekal dalam pesawat semasa di lapangan terbang Hang Nadim sementara menunggu cuaca bertambah baik di Changi, menurut penguasa tempatan, BP Batam.

Jurucakap Changi Airport Group berkata, keputusan mengenai lencongan pesawat dan pendaratan merupakan keputusan mutlak juruterbang dan syarikat penerbangannya.

Kejadian ini berlaku selepas seminggu sekitar 200 penumpang SIA terkandas di Hokkaido selama 57 jam akibat salji tebal yang menutup landasan lapangan terbang dan menyebabkan ratusan penerbangan dibatalkan.

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:49
Zuhur
12:52
Asar
4:14
Maghrib
6:52
Isyak
8:06
3 HR PSI: 25
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.