MADRASAH Irsyad Zuhri Al-Islamiah telah membuat laporan polis selepas seorang kakitangannya didapati memuat turun tanpa kebenaran beberapa dokumen sulit berhubung urus niaga kewangan antara madrasah tersebut dengan Irsyad Trust Limited (ITL) yang kini sedang disiasat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Kakitangan tersebut telah meletak jawatan kata Madrasah tersebut pada Isnin (31 Mei), dalam kenyataan bersama Muis.
“Oleh kerana perkara ini kini sedang disiasat polis, Madrasah tidak dapat memberikan butiran lanjut,” kata kenyataan itu
Madrasah dan Muis berkata ia diberitahu pada 11 Mei, tentang e-mel sulit yang dibocorkan dari server e-mel Madrasah kepada pihak ketiga yang tidak mempunyai kebenaran membaca e-mel itu.
Sebahagian dokumen yang dibocorkan itu berhubung proses semakan terhadap urus niaga kewangan Madrasah dengan ITL.
“Muis ingin menekankan ia menganggap amat serius sebarang dakwaan mengenai penyelewengan kewangan dan sedang mengambil langkah yang sewajarnya untuk menyiasat,” kata kenyataan itu.
Muis sedang mengadakan semakan tersebut menyusuli soalan yang diajukan di parlimen pada 5 April mengenai perkara tersebut.
Soalan itu berhubung dakwaan salah guna kuasa di Madrasah melibatkan Pengarah Kanan Madrasah di Muis, yang juga berperanan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ITL sejak 2014, kesudahan siasatan dalaman berhubung perkara itu pada 2019/20 dan sama ada huraian di luar mahkamah telah dicapai antara Muis dengan ITL berhubung hakcipta dan wang milik Madrasah yang telah digunakan secara salah oleh ITL untuk mengaup keuntungan.
Menjawab soalan tersebut, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata tiada kaitan antara ITL dengan Muis sejak Januari 2021.
ITL ditubuhkan sebagai syarikat berasingan oleh Jawatankuasa Pengurusan Madrasah Irsyad (MMC) sebagai Irsyad Foundation Limited, dua tahun sebelum Madrasah tersebut menyertai Sistem Madrasah Bersama (JMS) di bawah Muis.
Pada 2016, semasa audit tahunan terhadap kewangan Madrasah itu, MMC didapati telah membenarkan pindahan wang $2 juta kepada ITL bagi operasi antarabangsa. Muis mengarahkan supaya ITL membayar balik wang itu kepada Madrasah dan ITL telah mengembalikan wang itu sepenuhnya kepada Madrasah pada 2016, kata Encik Masagos.
“Muis telah mengarahkan semakan terhadap urus niaga antara Madrasah Irsyad dengan ITL. Semakan itu sedang berlangsung. Bergantung pada hasil reviu itu, Muis akan mempertimbangkan sama ada tindakan susulan perlu diambil,” kata Encik Masagos dalam jawapannya kepada soalan parlimen itu.