Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Alat bantuan berjalan beri harapan berdikari

Apr 02, 2016 | 05:30 AM



BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul.



Sedang Cik Zainon Arshad, 48 tahun, mengharungi jerih payah menangani dua penyakit kronik, kerosakan ginjal dan kencing manis sekali gus, wanita cekal ini mempunyai amanah besar menjaga anak remaja kelumpuhan otak (cerebral palsy).



Namun, semangat waja ibu tiga anak lelaki itu tidak pernah pudar bagi melihat anak itu, Huzairul Izwan, 16 tahun, mampu berjalan sendiri dan berdikari.



Huzairul dikesan menghidap kelumpuhan otak selepas dilanda demam panas sewaktu kecil.



Tanpa diduga, impiannya memiliki alat bantuan berjalan, Rifton Pacer yang diimport dari New York, bagi memudahkan golongan kurang upaya memperbaiki kognisi dan menguatkan otot mereka, tercapai hasil bantuan Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (MKAC).



Dalam masa dua hari hasratnya itu diuar-uarkan MKAC di media sosial, sebanyak $4,000 terkumpul hasil derma masyarakat berbilang kaum.



Antara yang tampil menghulurkan dermanya ialah Presiden Persatuan India Singapura, Encik K. Kesavapany.



Sebagaimana jelasnya:



"Saya menyokong setiap usaha murni MKAC. Melihat anak muda seperti Huzairul sukar bergerak, hati saya dihimpit rasa ihsan. Mutu hidupnya perlu diperbaiki. Saya yakin alat ini membuka pintu baginya meneroka banyak perkara dalam kehidupan."



Kelmarin, Rifton Pacer itu telah disampaikan kepada Huzairul oleh Setiausaha Parlimen (Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin, di pejabat MKAC.



Terharu dengan bantuan yang diberi buat anak keduanya itu, Cik Zainon dengan nada pilu berkata: "Ketika saya masih sihat dan tidak berkerusi roda, Huzairul saya gendung dan kami naik bas ke sekolah. Setelah masalah ginjal melanda dan kencing manis semakin teruk, kaki pula perlu dibedah.



"Kami uruskan pengangkutan Huzairul, bahkan perlu dapatkan khidmat pembantu rumah walau hidup dalam kesempitan dengan suami sahaja bekerja sebagai pekerja pentadbiran. Sebabnya, saya tak mampu mandikannya seperti dulu dalam keadaan saya sakit."



Menurutnya, yang juga rajin menimba ilmu membuat roti, biskut dan kek serta menggubah bunga di MKAC bagi menambah pendapatan keluarga, harapannya ialah melihat Huzairul juga mampu berdikari dengan bantuan Rifton Pacer itu.



"Dalam kesakitan, saya tidak pernah minta dikasihani, bahkan ingin usaha sendiri dan kuatkan semangat kumpul kemahiran di MKAC. Alat ini langkah permulaan bagi Huzairul agar gigih berusaha," jelasnya.



Presiden MKAC, Encik Ameerali Abdeali, pula menambah: "Kami lebih terdorong membantu Cik Zainon melihatkan kecekalannya memburu pelbagai ilmu bagi memantapkan pendapatan keluarga. Orangnya sabar dalam setiap ujian dan selalu tersenyum."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >