Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

aLIVE dan terus 'bertenaga'...

Dec 12, 2016 | 05:30 AM



Program aLIVE diterima baik oleh peserta dan ibu bapa. Bilangan peserta telah meningkat tahun demi tahun sejak ia dimulakan pada 2004 dengan pengembangan kandungan program. Menjelang tahun baru ini, program aLIVE bakal memperkenalkan pembaharuan serta peningkatan pada program sedia ada. Ikuti laporan HAIRIANTO DIMAN (mdhairi@sph.com.sg) mengenai pembaharuan program aLIVE dan maklum balas seorang graduan aLIVE yang tamat pengajian program baru-baru ini.



MENYUSULI penerimaan baik bagi program aLIVE, kelas malam bakal dijalankan tahun depan bagi menampung peningkatan bilangan pelajar.



Program Pembelajaran Islam bagi Dewasa (Adil) pula yang telah dijalankan selama empat tahun secara modular akan dijadikan lebih berstruktur mulai tahun depan.



Kelasnya bakal diadakan pada hari Sabtu atau Ahad selama dua jam setiap sesi. Para peserta boleh menamatkan pengajian semua modul dalam tempoh dua tahun.



Selain itu, panduan tambahan atau dikenali sebagai 'inserts' juga akan diperkenalkan menjelang tahun depan.



'Inserts' menyentuh topik-topik semasa yang tidak terkandung dalam bahan pelajaran sedia ada.



Apabila timbulnya sesuatu isu semasa yang perlu diberikan perhatian, pihak Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan menghasilkan 'inserts' itu yang kemudian diberikan kepada semua masjid bagi asatizah mengongsi kandungannya dalam kelas mereka.



Demikian antara pembaharuan bagi program aLIVE menjelang tahun baru ini yang didedahkan oleh Penolong Pengarah, Pendidikan Belia dan Masyarakat, Ustaz Mohamad Khidir Abdul Rahman, dalam satu wawancara bersama Berita Harian baru-baru ini.



Beliau mengongsi tentang pencapaian aLIVE sejak program itu dikaji semula pada 2011 dan keberkesanan keempat-empat cabang program bagi peringkat berbeza - Kids aLIVE bagi kanak-kanak berusia antara lima dengan lapan tahun; Tweens aLIVE bagi antara sembilan dengan 12 tahun; Teens aLIVE bagi antara 13 dengan 16 tahun; dan Youth aLIVE bagi remaja antara 17 dengan 20 tahun.



Ustaz Khidir berkata rata-rata, program aLIVE telah diterima baik oleh para peserta dan jumlah penyertaan telah meningkat daripada 11,610 pada 2011 kepada 19,200 tahun ini.



Kini, terdapat sebanyak 37 pusat aLIVE termasuk pusat baru di Masjid Al-Islah di Punggol dan Masjid Maarof di Jurong West.



"Keberkesanan program dapat dilihat dari sudut pelajar dan ibu bapa.



"Lebih ramai pelajar kini berminat menghadiri kelas kerana kurikulum bercorak kegiatan membuat mereka rasa lebih terlibat.



"Pelajar tidak hanya duduk mendengar apa yang disampaikan guru.



"Tambahan, guru-guru kami juga terlatih dan dipesan agar tidak begitu keras dengan para pelajar.



"Mereka korbankan masa rehat dengan menghadiri kelas dan kami inginkan guru-guru jadikan sekitaran yang seronok bagi mereka bincang isu yang dihadapi di sekolah dan rumah," ujar Ustaz Khidir yang menambah bahawa ibu bapa juga mengongsi perubahan positif yang dilihat pada anak mereka.



Contohnya, Ustaz Khidir berkata terdapat seorang ibu yang mengongsi anaknya kini mengambil inisiatif sendiri untuk mengerjakan solat.



Perubahan itu mungkin kecil tetapi yang diharapkan ialah ia dapat terus kekal dan konsisten, katanya lagi.



"Kurikulum dulu berdasarkan subjek seperti fiqah, tauhid dan diikuti dengan contohnya.



"Kami dapati para pelajar tidak dapat aplikasikan bahan yang dipelajari dalam kehidupan harian mereka.



"Bergerak ke hadapan, kami kemukakan contoh atau tema pembelajaran.



"Misalnya, hiburan menjadi tema dan di bawah tema itu, pelajar belajar tentang tauhid, fiqah, apa yang boleh dan tidak boleh dari segi hiburan.



"Pelajar kini dapat lihat kaitan antara agama dan kehidupan harian mereka," terang Ustaz Khidir.



Kini, kelas aLIVE diadakan pada sebelah petang hari biasa dari 3 hingga 6 petang dan tiga sesi pada hujung minggu dari 8 pagi hingga 6 petang.



"Kami bakal perkenalkan jadual kelas malam baru pada hari Khamis dan Jumaat mulai tahun depan di tiga masjid - Darul Makmur di Yishun; Al-Istiqamah di Upper Serangoon; dan Al-Mawaddah di Sengkang.



"Diharapkan juga ibu bapa, pada masa yang sama, boleh sertai kegiatan malam yang dijalankan di masjid," ujar Ustaz Khidir.



Kelas malam itu akan melengkapkan program lain sedia ada seperti program cuti sekolah dan program Kids aLIVE edisi rumah bagi mengatasi penyertaan yang semakin meningkat.



Keberkesanan program aLIVE juga dapat dilihat daripada pelajar yang tamat Youth aLIVE dan memberi maklum balas bahawa mereka mahu meneruskan perjalanan dalam pendidikan Islam, ujar Ustaz Khidir.



"Disebabkan ada permintaan daripada graduan Youth aLIVE yang ingin program selanjutnya, program pembelajaran Islam bagi dewasa akan dipertingkatkan.



"(Program) Adil memang bukan baru dan sesiapa saja boleh sertai modul yang ditawarkan. Namun, masa modul ditawarkan tidak tetap.



"Mulai tahun depan, ia akan lebih berstruktur dengan kelas dijalankan setiap minggu pada hari Sabtu atau Ahad selama dua jam setiap sesi.



"Ia merupakan program dua tahun dan para peserta boleh selesai semua modul dalam tempoh itu," kata Ustaz Khidir.



Dalam pada itu, satu lagi inisiatif yang bakal dijalankan menjelang tahun depan adalah memperkenalkan panduan tambahan atau 'inserts'.



Ustaz Khidir mengongsi bahawa program aLIVE melalui kajian semula setiap lima tahun dan dalam tempoh itu, pasti ada kemungkinan isu yang tidak diteroka atau tidak dijangka semasa proses membangunkan kurikulumnya.



"Inserts ini akan meliputi isu-isu semasa, justeru kalau terdapat isu baru, kami akan lakarkan satu panduan dan berikan kepada semua masjid bagi para guru mengajar kelas mereka.



"Dengan itu, program aLIVE ini tidak statik dan tidak merangkumi isu-isu lama saja.



"Lakaran inserts ini perlu pantas. Sejenak saja ada isu yang timbul, kami perlu keluarkan bahannya sebelum kelas hujung minggu.



"Yang penting juga, para guru kami perlu bersedia untuk menyampaikan bahan panduan itu," kata Ustaz Khidir.



Secara keseluruhan, penyertaan aLIVE semakin meningkat dengan rangkaian bagi pendidikan Islam juga semakin berkembang.



"aLIVE bermula pada 2004 sebagai usaha Muis saja tetapi sejak 12 tahun ini, guru yang dilatih kami telah kembali menyumbang tenaga sebagai pembangun kurikulum, mentor dan juga guru untuk melatih guru baru lain.



"Ada graduan aLIVE kami juga kembali ke masjid sebagai penolong kepada guru-guru mereka manakala ada pula yang menawarkan khidmat kepada pihak swasta.



"Rangkaian besar dan mengembang menjadi tanda menunjukkan kejayaan aLIVE, sebarkan ilmu kepada orang lain," kata Ustaz Khidir.




"Keberkesanan program dapat dilihat dari sudut pelajar dan ibu bapa. Lebih ramai pelajar kini berminat menghadiri kelas kerana kurikulum bercorak kegiatan membuat mereka rasa lebih terlibat.Pelajar tidak hanya duduk mendengar apa yang disampaikan guru."
- Ustaz Mohamad Khidir Abdul Rahman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >