Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERPULANGNYA ASMAH LAILI

Allahyarhamha legenda tiada tolok bandingnya

Feb 17, 2019 | 05:30 AM



ALLAHYARHAMHA Asmah Laili dianggap ramai sebagai penyampai radio ikonik yang mempunyai gaya tersendiri lagi tiada tolok bandingnya.



Suara merdu dan diksi jelasnya terpahat dalam ingatan mereka yang biasa mendengar program kendaliannya termasuk Mari Bertutur Bahasa Inggeris.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Orange Travel, Encik Syah Ibrahim, yang pernah bekerja bersama Allahyarhamha, berkata rancangan tersebut ternyata memberi kesan kepada pendengar lain.



"Saya masih ingat diri saya serta warga senja ketika itu, seperti ibu saya sendiri, akan bergegas mendengar rancangan itu.



"Dari situlah ramai juga, pendengar radio mengasah penguasaan dwibahasa dan memanfaatkannya bagi digunakan dalam pertuturan seharian," katanya.



Kemampuan dwibahasa Allahyarhamha itu juga diingati pelawak setempat Suhaimi Yusof, 49 tahun.



Allahyarhamha juga seorang yang teratur dalam pekerjaannya sehingga ia menjadi satu teladan buat Suhaimi.



Rakan sekerja Asmah semasa di radio dahulu, Encik Hashim Yusof, 80 tahun, berkata Allahyarhamha merupakan penyiar yang berbakat bukan sahaja sebagai penyampai berita, malah dalam penerbitan drama radio juga.



"Suaranya jelas lantas begitu berkesan dalam apa juga yang disampaikan. Justeru tidak hairan Allahyarhamha pernah meminjamkan suaranya dalam drama domestik radio," ujarnya yang bersara sejak 1996.



Ketua Meja Antarabangsa di siaran televisyen Channel NewsAsia, Encik Sujadi Siswo, begitu sebak semasa ditemui wartawan di Masjid Ba'alwie.



"Jangan marah kalau saya terlalu emosi. Sebabnya bila saya kali pertama sertai dunia penyiaran, arwahnya merupakan invidu pertama yang membimbing saya. Beliau begitu teliti dalam bimbingannya sehinggakan hari pertama saya buat penampilan di radio, beliau temani saya di studio.



"Beliau memang legenda dunia penyiaran Singapura," katanya sambil mengesat air mata.



Allahyarhamha menghembuskan nafas terakhirnya petang kelmarin setelah rebah dalam pangkuan pembantu rumahnya.



Beliau berusia 79 tahun dan meninggalkan dua anak dan lima cucu.



Menantunya, Encik Shahiran Sahari, 53 tahun, berkata Allahyarhamha mengalami fibrosis pulmonari iaitu kerosakan pada peparu yang menyebabkan masalah pernafasan serius sehingga perlu mendapatkan bantuan oksigen tambahan daripada tangki oksigen mudah alih.



"Meskipun begitu, arwah ibu mempunyai semangat kental. Beliau gemar membaca justeru pengetahuannya dalam pelbagai bidang ilmu begitu mendalam.



"Itu juga yang menguatkan mindanya lantas memberinya semangat untuk melawan penyakitnya selama beberapa tahun," kata bapa tiga anak itu lagi.



Sudah pasti pemergiannya merupakan satu kehilangan bagi dunia penyiaran, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin, yang datang menziarah.



"Saya dan keluarga, sering menonton rancangan masakan beliau sedikit masa dahulu.



"Mami Asmah sering berkongsi resipi beliau bersama orang ramai menerusi pelbagai acara kemasyarakatan yang disertainya," jelas Encik Amrin.



Dalam pada itu, masakannya yang menyelerakan adalah yang bakal dirindui keluarganya khususnya cucunya, Sofea Shahiran, 17 tahun, yang rapat dengan Allahyarhamha.



"Dahulu, hampir setiap Jumaat saya pulang ke rumahnya di Bedok Reservoir View untuk merasa sajian yang dimasak pembantu rumah nenek. Pembantu itu diajar memasak mengikut cara nenek menyiapkannya.



"Kini, sudah pasti masakan beliau menjadi kenangan kami selamanya," ujar anak bongsu tiga beradik itu lagi. - FARID HAMZAH




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >