SALAM takziah dan himpunan doa mencurah-curah pada bulan Ramadan yang mulia kelihatan di media sosial buat keluarga alim dan munsyid setempat, Habib Hood Hussein Alhaddad.
Habib Hood yang nama sebenarnya, Syed Hood Hussain Alhaddad meninggal dunia pada usia 96 tahun pada awal pagi kelmarin (2 Mei).
Beliau dikenali ramai jemaah sebagai insan berilmu dan berhemah dalam mengalunkan syair qasidah penuh syahdu secara tetap di Masjid Ba’alwie selepas sesi ratib setiap Khamis.
Satu sesi tahlil buatnya telah dikendalikan menerusi aplikasi Zoom dalam talian pada 5 petang semalam oleh Imam Masjid Ba’alwie, Syed Hassan Al-Attas yang lebih dikenali sebagai Habib Hassan.
Menurut Habib Hassan, Habib Hood dipercayai adalah antara kaum Arab keturunan Hadhrami kelahiran Hadhramaut yang terakhir berhijrah ke Singapura.
Cucunya, pereka fesyen, Cik Lulu Alhadad, menulis di Facebook:
“Wira saya, datuk yang disayangi, Habib Hood. Dari-Nya kita datang dan kepada-Nya kita kembali.
“Moga Allah mengampuni dosanya dan mengasihaninya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.”
Ucapan takziah dari Berita Harian buat keluarga Allahyarham. Moga beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman.