Amah dipenjara kerana pukul, baling anak majikan

SEORANG pembantu rumah, 24 tahun, yang memukul anak majikannya yang berusia lima tahun dan membalingnya ke tanah dua kali di kawasan tanah lapang di Punggol dikenakan hukuman penjara pada Selasa (20 Ogos).

Semasa perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ang Siok Chen berkata pembantu rumah itu mula bekerja dengan keluarga budak itu pada November 2018.

Selain perlu mengurus kerja rumah, dia juga perlu menjaga anak majikannya. 

Sekitar 9 pagi pada 12 Mac 2019, budak lelaki itu telah meninggalkan rumah dengan membawa bola.

Beliau menuju ke kawasan tanah lapang di depan Block 673C Edgefield Plains.

Amah tersebut segera mengikut budak itu keluar.

Apabila budak lelaki tersebut mula meronta-ronta apabila diangkat, amah itu membalingnya ke tanah sebanyak dua kali sebelum mengangkatnya pulang ke rumah.

Insiden itu telah dirakam oleh seorang saksi, yang kemudiannya memuat naik video tersebut di aplikasi WeChat.

DPP Ang berkata video itu kemudian menjadi viral dan dikongsi di lelaman Facebook serta lelaman kewartawanan umum Stomp.

Pada sebelah petang hari itu, budak lelaki tersebut telah memberitahu ibunya, 34 tahun,tentang insiden tersebut dan mengadu tentang kesakitan di dada.

Pembantu rumah itu menafikan dakwaan telah mengasari budak itu. 

Namun dua hari kemudian, ibu budak lelaki itu menjumpai video anak dan amahnya di Facebook.

Beliau terus membuat laporan polis dan membawa anaknya ke hospital, di mana doktor mendapati tulang belakang budak itu agak rapuh.

Amah Indonesia itu dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan mengasari anak majikannya.

Amah itu tidak boleh dinamakan atas perintah sekatan untuk melindungi identiti budak lelaki itu.

Atas tuduhan mengasari anak itu, amah itu boleh dipenjara sehingga empat tahun dan didenda sehingga $ 4,000.